Pertimbang saiz badan Siti Bainun sebelum jatuh hukum - Peguam



KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan memohon kepada Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, agar mempertimbangkan saiz badan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali sebelum menjatuhkan hukuman.

Peguam, Mohammad Farhan Maaruf berkata demikian ketika hujahan mitigasi di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, berhubung prosiding keputusan kes mengabai dan menganiaya seorang remaja sindrom Down dikenali Bella.

Beliau berkata, mahkamah perlu mempertimbangkan perkara itu memandangkan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan.


“Jika hukuman pemenjaraan dikenakan terhadapnya, ia akan menjejaskan kesihatan wanita itu.

“Hukuman penjara boleh digantikan dengan hukuman denda maksimum, sebagaimana yang terkandung dalam undang-undang,” katanya.

Ini kerana Mohammad Farhan berkata, amaun ikat jamin (RM17,000) terhadap Siti Bainun, adalah mencukupi untuk membayar denda maksimum, jika dibenarkan oleh mahkamah.


Selain itu, beliau berkata, Siti Bainun perlu menjaga ibu malah dia hanya menjalankan perniagaan menjual kek.

Pihaknya juga memohon mahkamah pertimbang gerak kerja sosial Siti Bainun dalam bidang kebajikan serta kesukarelawan.

Mahkamah ditangguhkan sebelum memutuskan bentuk hukuman ke atas wanita itu. − Sinar



Join our Telegram Channel
Telegram