Jangan diskriminasi pelancong China – Menteri



KUALA LUMPUR: Pelancong, khususnya dari China tidak seharusnya menjadi mangsa diskriminasi walaupun negara itu kini berhadapan penularan wabak coronavirus baharu, yang sudah meragut sekurang-kurangnya sembilan nyawa.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, menjelaskan pelancong yang masuk ke negara ini akan disaring terlebih dahulu di pintu masuk negara, termasuk lapangan terbang.

“Kita menggalakkan rakyat Malaysia untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan menjaga kesihatan masing-masing, khususnya apabila berada di tempat awam. Kita juga berharap tiada pelancong, khususnya warga China menjadi mangsa diskriminasi, antaranya termasuk menjauhkan diri daripada mereka.


Loading...

“Ini kerana pelancong dari semua negara akan disaring terlebih dahulu di pintu masuk negara ini,” katanya menerusi Facebook, sambil berkongsi laporan The Guardian bertajuk ‘Coronavirus: Chinese hospitals not testing patients, say relatives’ (Coronavirus: Hospital China tidak uji pesakit, kata ahli keluarga’).

Industri pelancongan adalah antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi. Nilai tambah kasar industri itu meningkat daripada 14.6 peratus atau RM201.4 bilion pada 2017 kepada 15.2 peratus atau RM220.6 bilion bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2018.

Industri itu terus berkembang pada tahun lalu, dengan jumlah ketibaan pelancong meningkat 3.7 peratus kepada 20.11 juta antara Januari hingga September, berbanding 19.39 juta pada 2018.

Malaysia menyasarkan 30 juta ketibaan pelancong asing tahun ini selaras kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, dengan anggaran pendapatan sebanyak RM100 bilion. Statistik Tourism Malaysia menunjukkan jumlah ketibaan pelancong China meningkat daripada 1.61 juta pada 2014, kepada 2.94 juta pada 2018.


Loading...

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengumumkan pelancong China diberi pengecualian visa selama 15 hari, bagi memperkukuh kerjasama dua hala dan meningkatkan jumlah pelancong negara itu ke Malaysia.

Dalam pada itu, pihak berkuasa di Wuhan, China mula mengawal jumlah penduduk yang keluar dan masuk ke bandar itu, menurut media negara itu. Pengawal keselamatan melakukan pemantauan 24 jam di pasar makanan laut dan haiwan Huanan, yang disyaki sebagai punca wabak terbabit.

The Guardian turut melaporkan, kumpulan pelancong dilarang meninggalkan kawasan itu dan pemeriksaan secara rawak dilakukan pada kenderaan yang masuk dan keluar daripada bandar itu, bagi memeriksa sama ada mereka membawa haiwan hidup.

Selasa lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, memaklumkan seramai 61 penumpang dikesan dengan suhu badan tinggi antara 15 Januari hingga 20 Januari lalu, apabila mereka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), namun ia adalah suhu biasa.


Loading...

Dalam tempoh sama, jelasnya, seramai 258,246 penumpang dan 8,808 anak kapal daripada 2,494 penerbangan disaring, selain tiada seorang pun daripada 61 penumpang dengan suhu badan tinggi itu, didapati positif virus baharu itu.

Tempoh kuarantin bagi mana-mana individu yang terdedah dengan coronavirus baharu itu yang dikenali sebagai 2019 NCOV, adalah selama seminggu.

Dr Boon Chye menasihatkan, individu yang pulang daripada negara yang dikesan memiliki kes 2019 NCOV, khususnya China, untuk memantau kesihatan mereka selama dua minggu dan segera mendapatkan rawatan jika memiliki simptom seperti influenza.

Sehingga kini, seramai 440 individu dilaporkan menjadi mangsa virus itu dengan sembilan kematian. Kebanyakan kes dilaporkan di Wuhan, China namun ia dikesan tersebar ke Beijing, Shanghai dan Guangdong, selain Thailand, Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Amerika Syarikat. – BHarian


Please subscribe


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram