Redzuan, Rafiq rebut jawatan naib presiden BERSATU



MELAKA: Pemilihan kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Jun ini, dijangka menyaksikan pertembungan pemimpin utama dari negeri ini dalam merebut jawatan sebagai naib presiden parti itu.

Ia berikutan, Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, mengumumkan hasrat untuk merebut jawatan itu sejak Ogos tahun lalu, disusuli Timbalannya, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, turut menawarkan diri bagi jawatan sama, semalam.

Loading...

Ketika ini, kedua-dua pemimpin berkenaan adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU.

Parti memperuntukkan tiga kuota untuk jawatan naib presiden yang pada ketika ini disandang Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan Datuk Abdul Rashid Ansari, manakala satu lagi dikosongkan Datuk Hamidah Osman yang meletakkan jawatan seterusnya mengumumkan keluar parti pada 16 September 2017.

Mengulas perkara itu, Mohd Redzuan yang juga Menteri Pembangunan Usahawan, berkata hasratnya bertanding jawatan kanan parti itu adalah atas permintaan serta sokongan ahli akar umbi.

Loading...

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, selain itu, jawatan terbabit juga dilihat sebagai platform terbaik baginya membawa aspirasi dan amanah golongan terbabit ke peringkat tertinggi parti, termasuk Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Saya sudah bersedia melaksanakan tanggungjawab itu dan membawa hasrat akar umbi ke peringkat tertinggi PH. Dengan sokongan dan hasrat mereka itu, saya bersedia bertanding jawatan naib presiden,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Mohd Rafiq yang juga EXCO Perindustrian, Pelaburan dan Perdagangan negeri, optimis merebut jawatan berkenaan selepas dikatakan mendapat sokongan daripada ahli akar umbi termasuk dari Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abd Rahman.

Loading...

Mengumumkan perkara itu pada Majlis Rapat Umum bersama ARMADA Melaka di Bandar Hilir dekat sini, semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berusia 34 tahun itu yakin akan membawa suara anak muda ke peringkat tertinggi parti jika beliau diberi mandat menjawat jawatan berkenaan, Jun depan.

“BERSATU kini dianggotai oleh 70 peratus orang muda lelaki dan wanita. Dari tiga kouta jawatan naib presiden yang ada, kita hanya minta satu saja (kouta) untuk calon orang muda ini.

“Saya rasa tidak keterlaluan, justeru saya minta semua (ahli) membantu saya dan menerusinya kita dapat menonjolkan lebih ramai pemimpim muda dalam BERSATU pada masa akan datang,” katanya.

Loading...

BERSATU akan mengadakan Mesyuarat dan Perhimpunan Agung tahunan serentak dengan pemilihan parti bermula 25 Jun depan dan akan menyaksikan pemilihan buat kali pertama sebelum perhimpunan itu bermula.

Pencalonan bagi pemilihan parti akan bermula 26 Januari ini, disusuli mesyuarat agung pada peringkat cawangan mulai 15 Februari sehingga 29 Mac ini, manakala mesyuarat peringkat bahagian pula pada 18 April.

Kali ini, semua peringkat akan terbabit pemilihan membabitkan ketua dan ahli jawatankuasa cawangan, bahagian serta MPT termasuk sayap Srikandi dan ARMADA. – BHarian



Join our Telegram Channel
Telegram