Usul undi percaya Dr Mahathir baguslah, kata Syed Saddiq



KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, usul undi percaya dalam Dewan Rakyat bagi menyokong Dr Mahathir Mohamad supaya kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal adalah sesuatu yang ‘bagus’ dilakukan.

“Baguslah. Saya agak yakin pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang lain juga bersama dengan perdana menteri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pertandingan akhir debat Malaysia Future Leaders School (MFLS) di Dewan Kampo, Pusat Belia Antarabangsa (IYC), di sini.

Tambahnya, beliau sendiri akan menyokong penuh kepimpinan Mahathir, selaku pemimpin tertinggi PPBM.

Loading...

Sebelum ini, Mahathir memberitahu media bahawa beliau tidak tahu mengenai rancangan PAS untuk mahu membawa usul undi percaya terhadap kepimpinannya pada persidangan Dewan Rakyat bulan depan.

Ini susulan pengumuman timbalan presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum itu yang berkata, langkah itu perlu dalam menangani kemelut peralihan kuasa ketika ini membabitkan Mahathir yang “mengganggu kestabilan politik dan ekonomi” negara.

Berikutan itu, timbalan presiden Umno, Mohamad Hasan, dilaporkan berkata, partinya juga berkemungkinan akan menyokong usul undi percaya itu.

Loading...

Beliau dilaporkan berkata, jika usul undi percaya itu menjadi langkah baik dan memberi manfaat kepada rakyat, maka Umno tidak akan teragak-agak menyokongnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan terkini siasatan insiden kekecohan ketika majlis makan malam Pemuda PPBM di Ulu Tiram, Johor minggu lepas, Syed Saddiq berkata, beliau dimaklumkan bahawa tindakan lanjut akan menyusul.

Awal hari ini, timbalan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Risikan dan Operasi) Bukit Aman, Mohd Roze Shaari mengesahkan proses merakam keterangan menteri belia dan sukan itu dibuat di pejabat beliau di Putrajaya, kira-kira jam 9 pagi bagi membantu siasatan.

Loading...

Dalam insiden itu, Syed Saddiq yang juga ahli Parlimen Muar dikatakan diganggu kira-kira 200 individu yang didakwa berlagak seperti gangster ketika beliau makan malam bersama ahli keluarga dan rakan-rakan di sebuah restoran di Ulu Tiram.

Syed Saddiq yang memuat naik kenyataan di akaun Instagram selepas kejadian berkata, pertemuannya bersama ahli Pemuda dan Wanita PPBM Johor itu dicemari dengan kata-kata kesat, lucah dan ugutan mendesaknya keluar dari negeri itu. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram