Doktor pakar cabar perintah ‘duduk di rumah’ selepas diberitahu supaya tidak berjoging di luar



PETALING JAYA: Seorang doktor perubatan yang berpangkalan di Pulau Pinang mencabar kefahaman pihak berkuasa mengenai perintah kawalan pergerakan (MCO) selepas beliau ditegur oleh pegawai majlis tempatan sewaktu beriadah di sebuah taman di George Town.

Perunding kardiologi Dr Ong Hean Teik berhujah bahawa MCO, yang mula berkuat kuasa pada Rabu bagi menyekat penularan wabak Covid-19, bukanlah perintah berkurung, tetapi bertujuan menghalang himpunan ramai dan memastikan jarak sosial.

“Salah kefahaman dan salah tafsiran mengenai perintah itu boleh membawa kepada natijah tidak diingini dan meningkatkan kemungkinan penularan Covid-19,” tulisnya kepada FMT hari ini.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menggesa orang ramai tidak keluar rumah untuk berjoging atau beriadah.


Loading...

Beliau memberitahu FMT bahawa orang ramai harus berada di rumah masing-masing sejauh mungkin dalam tempoh kuat kuasa MCO yang berakhir pada 31 Mac depan.

Majlis tempatan di seluruh negara mula melaksanakan MCO, termasuk mengarahkan penutupan taman dan tempat awam.

Majlis Perbandaran Subang Jaya berkata, pelanggaran perintah itu boleh menyebabkan pesalah dijatuhi hukuman denda hingga RM2,000 atau penjara tidak kurang 1 tahun.

Dalam satu klip video yang tular di laman sosial, Ong dilihat bertengkar dengan 3 pegawai Dewan Bandaraya Pulau Pinang di Taman Belia.


Loading...

Ong bertegas bahawa MCO tidak bertujuan memaksa orang ramai berada di rumah.

Beliau turut memetik kajian akademik yang menunjukkan bahawa Covid-19 “menular dalam persekitaran dingin dan kering seperti di kawasan berhawa sederhana dan bilik berhawa dingin”.

“Iklim panas dan lembab yang didapati di luar rumah di Malaysia adalah persekitaran paling baik untuk membunuh virus itu. Kita tidak mahu orang ramai berhimpun, tetapi mengehadkan mereka di dalam rumah, barangkali dengan penghawa dingin dipasang, adalah tidak sihat,” katanya dengan menambah bahawa pertubuhan-pertubuhan mungkin bertindak di luar batas undang-undang dengan menyekat pergerakan orang ramai.

“Bagi mengurangkan jangkitan Covid-19, perlu wujud jarak sosial. Patuhi MCO, tetapi bertindaklah dengan bijak supaya kehidupan tidak terlalu tertekan dan tidak aktif sehinggakan daya ketahanan tubuh menurun dan jangkitan virus meningkat,” katanya.

FMT kini berusaha mendapatkan respons daripada Kementerian Kesihatan. – FMT


Please subscribe

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram