Idris Haron dilantik EXCO Melaka



AYER KEROH, Mac 13: Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, menjadi antara sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka.

Idris yang juga ADUN Sungai Udang, dilantik sebagai EXCO Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri.

Dua ADUN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) turut dilantik semula ke jawatan berkenaan.


Loading...

Mohd Rafiq memegang portfolio Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan negeri, manakala Noor Effandi dilantik EXCO di Jabatan Ketua Menteri yang bertanggungjawab dalam aspek Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Teknologi negeri.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali, ketika mengumumkan senarai itu hari ini berkata, pelantikan berkenaan dipersetujui oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Sulaiman akan mempengerusikan portfolio Perancangan Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Pantai dan Sungai, Pengurusan Air, Hal Ehwal Agama, Perindustrian, Pelaburan, Teknologi, Komunikasi, Multimedia dan Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC).


Loading...

Turut tersenarai ADUN Asahan, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan (EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar), ADUN Rembia daripada PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis (EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan); ADUN Taboh Naning, Datuk Latipah Omar (EXCO Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan), manakala ADUN Merlimau, Datuk Roslan Ahmad ( EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Insfrastruktur).

ADUN Pengkalan Batu daripada Bebas dilantik semula sebagai EXCO Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan, dan Koperasi, manakala ADUN Ayer Molek, Rahmad Mariman (EXCO Kesihatan dan Antidadah).

Sulaiman turut mengumumkan portfolio baharu iaitu Perpaduan, Perhubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna yang dikosongkan sementara dan bakal diisi dalam tempoh sebulan.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan akan diadakan jam 2.30 petang ini di Dewan Seri Negeri. – BHarian



Join our Telegram Channel
Telegram