Kerajaan lulus peruntukan RM200 juta bina Empangan Jernih - KM Melaka



ALOR GAJAH: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan kira-kira RM200 juta iaitu tambahan RM36 juta untuk pembinaan Empangan Jernih di sini bagi menyelesaikan isu bekalan air di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali berkata Kementerian Hal Ehwal Ekonomi terdahulu telah memberi kelulusan peruntukan tambahan melalui surat bertarikh 14 Feb lalu.


Loading...

"Jumlah yang diluluskan itu meliputi skop projek pembinaan struktur empangan, menara kawalan, alur limpah dan stesen Tenaga Nasional Berhad, kolam tadahan air dan jalan masuk ke empangan baharu itu.

"Kami harap dengan adanya pembinaan empangan berkapasiti takungan 13,000 juta liter sehari sumber air mentah ini dapat menyokong keperluan penambahan penduduk sehingga 2030 kelak," katanya pada sidang media selepas meninjau keadaan paras air semasa Empangan Durian Tunggal di sini pada Rabu.

Terdahulu beliau dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad, Zainal Abidin Ab Rahman melawat Empangan Jus di Jasin.


Loading...

Sulaiman berkata Bahagian Bekalan Air di Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dijangka akan membuat tawaran tender bagi projek Empangan Jernih yang dijangka mengambil masa 30 bulan itu selewat-lewatnya bulan depan (April) dan ia akan dimulakan setelah proses tender selesai.

Beliau berkata setakat hari ini Empangan Durian Tunggal hanya mencatatkan 16.1 peratus kadar air dengan kapasiti 4,970 juta liter, diikuti Empangan Jus 24.2 peratus berkapasiti 10,475 juta liter manakala Empangan Asahan 68.9 peratus dengan kapasiti 480 juta liter. – AstroAwani

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua Menteri Melaka ikrar selesai isu air sebelum Ramadan


Please subscribe

Join our Telegram Channel
Telegram