Sokongan kita kepada kerajaan PN ada hadnya – Najib



Ramai yang mungkin tak faham bahawa kerajaan PN hari ini bukan kerajaan Muafakat Nasional ataupun kerajaan BN.

Sebab itu, sokongan kita kepada kerajaan PN ada hadnya.

Sebab itu Presiden, Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda UMNO tidak ada dalam kabinet kerajaan hari ini.

Kita hanya pertahankan kerajaan PN ini sehingga PRU15. – Najib Razak


KUALA LUMPUR, 12 Mac – UMNO komited untuk terus memberikan sokongan dan mempertahankan kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan datang, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau dalam satu kenyataan berkata komitmen itu, yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO hari ini, adalah berasaskan selama mana aspirasi rakyat dipelihara serta memastikan kestabilan politik dan ekonomi dapat dijaga.


Loading...

"Kerajaan baharu harus memastikan aspirasi rakyat benar-benar direalisasikan, selain melaksanakan tanggungjawab dengan memberikan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, kenegerian dan darjat serta tidak mengulangi kesilapan Pakatan Harapan (PH) dalam menguruskan isu-isu yang menyentuh sensitiviti kaum.

"Kerajaan baharu juga harus segera berusaha menangani kelembapan ekonomi semasa termasuklah melakarkan pelan tindakan berkesan menghadapi cabaran ekonomi global dan kesan wabak COVID-19," katanya.

Ahmad Zahid berkata sokongan UMNO kepada Muhyiddin sehingga terbentuknya kerajaan baharu pada 1 Mac lepas adalah semata-mata sebagai tanggungjawab moral untuk menyelamatkan negara dan rakyat daripada terus terbelenggu dengan krisis politik lantaran terbubarnya kerajaan PH susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad.


Loading...

Beliau berkata UMNO akan terus memainkan peranan secara proaktif sebagai ejen semak dan imbang terhadap kerajaan baharu bagi memastikan suara serta aspirasi rakyat benar-benar terbela.

"UMNO juga akan meneruskan agenda utama memperkasakan Muafakat Nasional dengan rakan-rakan PAS selain memperkukuhkan Barisan Nasional bersama rakan-rakan komponen MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah," katanya.

Ahmad Zahid juga berkata beberapa tindakan segera harus diambil oleh Kabinet baharu termasuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja dengan segera bagi menyiasat segala dakwaan salah laku dan penyelewengan PH terhadap kerajaan Barisan Nasional dan pengurusan haji sebelum ini.

Selain itu, katanya, kerajaan perlu menilai semula keputusan penjualan secara lambak aset-aset strategik negara dan agensi-agensi berkepentingan rakyat seperti Tabung Haji, Khazanah Nasional, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan semua syarikat berkaitan kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Umno kemuka enam tuntutan pada Muhyiddin

"Demi memenuhi prinsip kedaulatan undang-undang yang sebenar, UMNO mendesak kes-kes penyelewengan yang dihentikan perbicaraannya oleh kerajaan PH dibuka semula, ini termasuk kes skandal rasuah terowong dasar laut dan tiga lebuh raya melibatkan pemimpin DAP bernilai RM6.3 bilion.

"Siasatan dan pendakwaan juga perlu disegerakan terhadap mereka yang dikaitkan dengan kes pembunuhan menyayat hati melibatkan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim," katanya.

Ahmad Zahid berkata agenda kerajaan PH untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang didakwa sengaja mahu mengongkong serta mengekang tugas dan tanggungjawab pihak Polis Diraja Malaysia juga seharusnya dibatalkan.

"Selain itu, (kerajaan harus) membekukan keputusan pemberhentian kakitangan awam berstatus kontrak, dasar pengurangan kakitangan awam dan mengkaji semula dasar yang memastikan kebajikan penjawat awam terbela," katanya. – Bernama

Join our Telegram Channel
Telegram