Kait kes Covid-19 3,333, surah Ahzab perbuatan terpesong – Jabatan Mufti Perak



PERSOALAN HUKUN SEKITAR ISU COVID-19
(5 APRIL 2020)

SOALAN 12 :-

Berdasarkan kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia pada 3 April 2020, berkenaan status COVID-19 di Malaysia yang melibatkan jumlah kes keseluruhan sebanyak 3,333, Apakah pernyataan Al Quran dalam Surah al Ahzab ayat 33 membuktikan kebenaran wabak corona virus COVID-19 termasuk larangan keluar rumah ?

Jawapan:

Tular di media maya berkaitan perkara ini yang secara lansung mengaitkan nas al quran Surah al Ahzab ayat 33, seolah-olah menyebut tentang wabak COVID-19 ini dan kaitan dengan larangan keluar rumah. Firman Allah SWT:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى وَأَقِمْنَ الصَّلَاةَ وَآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّـهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرً

Bermaksud: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu dan dirikanlah shalat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya”.

Loading...

Jabatan Mufti Negeri Perak menasihatkan masyarakat Muslim termasuk para netizen yang mentularkan isu ini beberapa peringatan:

1. Perbuatan sedemikian merupakan pendustaan dan pembohongan yang nyata terhadap Allah SWT bagi membuktikan bahawa corona virus (COVID 19) sudah dinyatakan dalam Al Quran. Pembuat kenyataan ini telah melakukan pemesongan di luar konteks terhadap ayat-ayat kalam Allah SWT tanpa sandaran ilmu yang benar. Firman Allah SWT dalam Surah Isra’ ayat 36:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya”.

2. Dalam ayat 33 surah al Ahzab ini memperihalkan berkenaan akhlak para isteri Nabi SAW yang menunjukkan ketinggian status dan keunggulan mereka yang boleh menjadi teladan kepada seluruh wanita muslimah. Antaranya mengenai akhlak ketika berbicara, memelihara diri semasa keluar dari rumah yang hanya wujud keperluan Syarak sahaja serta tegahan berhias diri seperti perempuan Jahiliah.

3. Apabila diteliti maka didapati bahawa rata-rata lapisan masyarakat menyukai sesuatu yang ganjil dan menularkannya tanpa sebarang semakan dan penelitian terhadap kesahihannya. Sikap sebegini jelas akan membawa kepada fitnah dan kerosakan dalam masyarakat. Pendekatan terbaik adalah menyekat sesuatu maklumat yang tidak pasti apabila sampai kepada kita tanpa meluaskannya kepada orang lain.

Loading...

4. Adalah diperingatkan kepada umat Islam berkenaan peringatan dari al-Quran mengenai sesuatu perkhabaran yang tidak diselidiki akan kebenarannya menerusi firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 6:

يا أيها الذين ءامنوا إذا جاءكم فاسق بنبإ فتبينوا أن تصيبوا قوما بجهالة فتصبحوا على ما فعلتم نادمين

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.”

Seterusnya Rasulullah SAW telah mengingatkan kita dalam hal ini menerusi hadis yang berikut:

من قال في القرآن بغير علم فليتبوأ مقعده من النار

Maksudnya: “Barangsiapa yang berkata tentang al-Quran tanpa sandaran ilmu maka sediakan tempat duduknya dari api neraka.” (Riwayat al-Tirmizi)

Disediakan oleh:
Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Negeri Perak


Join our Telegram Channel
Telegram