Long Tiger direman 5 hari, Buzze Azam dilantik peguam



JOHOR BAHRU - Seorang individu dikenali sebagai Long Tiger direman lima hari bagi membantu siasatan memfitnah seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, reman dikenakan ke atas suspek berusia 31 tahun itu selepas dia ditahan di rumahnya di Muar, Selasa lalu.

"Long Tiger kini sedang direman lima hari kerana kesalahan memfitnah pegawai polis berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau membabitkan kes ugutan jenayah pada 2009 selain kes culik dan kes rogol pada 2012, yang kesemuanya sudah disabitkan kesalahan," katanya.

Loading...

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati lelaki itu mempunyai kaitan dengan kumpulan gengster dan polis sedang membuat siasatan lanjut.

"Suspek juga bukan warga Malaysia walaupun mendakwa dilahirkan di Mentakab, Pahang, sebaliknya adalah pemastautin sementara dari Myanmar atau Rohingya yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR)," katanya.

Semalam, Ayob Khan mengesahkan penahanan Long Tiger selepas gambar dan video penahannya tular di media sosial.

Long Tiger menjadi bualan netizen kerana kelantangannya sehingga menimbulkan kontroversi melalui beberapa sesi siaran langsung di Facebook sebelum ini.

Loading...

Malah dia juga sentiasa mencabar mereka yang tidak bersetuju dengan pendapatnya serta mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen.

Mengulas lanjut, Ayob Khan turut menafikan persepsi segelintir masyarakat yang menyatakan pemegang kad UNHCR kebal dari tindakan undang-undang.

"Tiada siapa pun kebal. Sesiapa yang membuat kesalahan tidak kira siapa pun termasuk pemegang kad UNHCR akan berdepan tindakan undang-undang negara," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ayob Khan berkata, seorang anggota polis IPD Muar berpangkat koperal turut ditahan atas kesalahan merakam gambar dan video penahanan Long Tiger.

"Merakam gambar serta video suspek di dalam tahanan adalah satu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan kita akan buka kertas siasatan terhadap anggota berusia 37 tahun itu.

"Tiada pilih kasih walaupun kesalahan dilakukan anggota kami, " katanya.



Please subscribe

Sementara itu, Azam Aziz di laman facebooknya sebentar tadi mengesahkan telah dilantik oleh isteri Long Tiger untuk mewakili suaminya.

“Firma guaman kami telah dilantik mewakili Abdul Hamim B. Abdul Hamid aka Long Tiger. Waran lantikan Peguamcara di sempurnakan isteri beliau jam 3.30 petang tadi dan lantikan ini adalah Tertakluk kepada beberapa syarat dan peraturan ketat yang di kenakan oleh firma guaman kami. Kami sedang berhubung dengan Pegawai Penyiasat di IPD Muar untuk maklumat lanjut berkaitan penahanan reman anak guam kami.” tulis Azam.

Tambah kenyataan itu, mereka masih belum menerima apa-apa maklumat berkaitan sudut siasatan polis dan juga masih belum berpeluang untuk berunding dengan Long Tiger.

“Kami akan memaklumkan perkembangan kes ini dari masa ke semasa kerana ianya telah mendapat liputan dan pemerhatian masyarakat Awam sejak beberapa hari lalu.

“Kami juga mengharapkan agar kesemua pihak dapat bertenang dan agar kes ini dapat di selesaikan mengikut proses undang2 tanpa campurtangan tak wajar dari mana2 pihak yang berada di luar sistem perundangan Negara.

“Sesiapa jua adalah belum bersalah selagi belum di putuskan sebagai bersalah oleh Mahkamah.” tambah Azam lagi. – Sinar/Cinca

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram