
PUTRAJAYA: Pelajar yang terperangkap di kampus pusat pengajian sejak perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa 18 Mac lepas dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula 27 Apr ini, bagaimanapun hanya perjalanan ke zon hijau sahaja.
Mereka akan pulang menaiki bas, dengan kapasiti penumpang dihadkan separuh bagi memastikan penjarakkan sosial.
Waktu perjalanan pula dihadkan dari 9 malam hingga 9 pagi, bagi memastikan perjalanan terkawal dan tidak melibatkan pergerakan besar-besaran.
“Pelajar terlibat akan menjalani saringan gejala sebelum menaiki bas dan dibekalkan makanan dan topeng,” kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob pada sidang media hari ini.
Mereka akan dibawa ke ibu pejabat polis daerah atau pejabat daerah yang terdekat dengan rumah. “Kemudian anggota agensi kerajaan yang ditugaskan akan menghantar mereka ke rumah masing-masing.”
Loading...
Kenderaan sendiri
Bagi pelajar yang memiliki kenderaan sendiri, mereka dibenarkan memandu pulang dengan syarat perjalanan tidak merentas negeri.
“Hanya seorang dibenarkan untuk setiap kenderaan,” kata Ismail.
Sebelum membuat perjalanan, mereka perlu mendapatkan surat kebenaran pergerakan daripada institusi pengajian tinggi masing-masing dan balai polis berhampiran.
Sabah dan Sarawak
Sementara itu, kerajaan menyediakan penerbangan bagi pelajar yang pulang ke Sabah dan Sarawak. Mereka akan diterbangkan ke lapangan terbang yang terdekat dengan kampung masing-masing.
“Mereka mesti menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari,” katanya.
Ismail memaklumkan proses penghantaran pulang ini akan melibatkan sekitar 53,000 pelajar IPT bawah Kementerian Pengajian Tinggi, atau 85% daripada pelajar yang berada di kampus ketika ini.
“Sebanyak 15% pelajar lagi memilih untuk kekal di kampus masing-masing,” tambahnya.
Kementerian akan terus menyediakan makan minum mereka yang memilih untuk terus berada di kampus.
Mengulas pelajar IPT yang bukan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), mereka juga dibenarkan pulang dengan syarat perlu mematuhi SOP dikeluarkan KPT.
Loading...
Pelajar di zon merah tak dibenar pulang
Ketika sesi pertanyaan media, Ismail memperincikan larangan pergerakkan di zon selain hijau.
Katanya, keputusan setakat ini, hanya membenarkan pelajar IPT pulang ke rumah di kawasan zon hijau sahaja.
“Untuk peringkat awal ini kita benarkan dari universiti ke zon hijau, tapi dari universiti nak balik ke zon merah kita tidak benar. Yang mana mereka tinggal di rumah sewa zon merah nak pulang ke zon hijau juga tidak dibenarkan.
“Bagaimanapun kita sedang berbincang, bagaimana nak memudahkan pelajar, sebagai contoh mungkin pelajar boleh pulang ke rumah ahli keluarga yang lain berada di zon hijau seperti rumah kakak atau abang, mereka boleh buat pilihan,” katanya.
Ismail turut memaklumkan, segala kos perjalanan akan ditangung sepenuhnya oleh kerajaan. – FMT
Join our Telegram Channel