
PETALING JAYA: Kerajaan memperluaskan bantuan tunai “one-off” sebanyak RM200 kepada pelajar tingkatan 6, diploma dan yang setara, termasuk institusi di bawah Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz berkata, jumlah peruntukan dinaikkan daripada RM270 juta kepada RM300 juta yang akan memanfaatkan 1.5 juta pelajar di seluruh negara.
Loading...
“Dianggarkan seramai 1.2 juta pelajar di institut pengajian tinggi awam, politeknik, kolej komuniti dan institut pengajian tinggi swasta layak menerima bantuan ini.
“Sebanyak 0.1 juta pelajar dari tingkatan 6 dan matrikulasi, 0.2 juta pelajar dari pelajar diploma atau setara termasuk, TVET SKM4 dan ke atas, menjadikan keseluruhan 1.5 juta pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pembayaran bantuan tunai itu akan dipercepatkan daripada Mei kepada hujung bulan ini.
Loading...
“Kerajaan berharap bantuan ini dapat meringankan beban dihadapi pelajar IPT dalam tempoh perintah kawalan pergerakan. Moga mereka terus sabar dan gigih dalam perjalanan menuntut ilmu dan menimba kemahiran,” katanya.
Pada 27 Mac lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan tunai RM200 kepada pelajar sepenuh masa IPT menerusi pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat.
Ia meliputi pelajar matrikulasi, kolej komuniti, politeknik, IPTA dan IPTS di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. – FMT


Join our Telegram Channel