
KERAJAAN negeri Melaka menetapkan hanya sektor industri pembuatan dibenarkan beroperasi susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bermula hari ini.
Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, keputusan itu dibuat selepas melihat keperluan sektor terbabit beroperasi bagi membolehkan kemajuan ekonomi negeri dapat diteruskan.
Bagaimanapun, beliau berkata, sektor lain termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), perhotelan, pelancongan, pengoperasian kedai makan dan restoran serta pusat beli-belah belum dibenarkan beroperasi.
Loading...
"Melaka mempunyai peningkatan beberapa kes berkaitan Covid-19 sejak semalam dan ia menimbulkan kerisauan dalam kalangan kepemimpinan negeri serta masyarakat lain.
"Sebab itu, sektor selain daripada industri pembuatan masih belum dibenarkan dan Jawatankuasa Khas Covid-19 negeri yang dipengerusikan Datuk Seri Abd Ghafaar Atan (EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri) akan bermesyuarat untuk memperhalusi mengenai perkara itu," katanya pada sidang media di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.
Semalam, beberapa negeri mengumumkan untuk menangguhkan pelaksanaan PKPB iaitu Kedah, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Selangor, Pahang dan Kelantan.
Loading...
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja minggu lalu, mengumumkan kerajaan akan melaksanakan PKPB mulai 4 Mei bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, sektor pembuatan di negeri ini mengalami kerugian kira-kira RM1 juta sehari sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertengahan Mac lalu.
Justeru, beliau berkata, bagi mengelakkan keadaan lebih buruk, sektor berkenaan dibenarkan beroperasi, sekali gus dapat meningkatkan ekonomi negeri. – Hmetro

Join our Telegram Channel