
Kalau anda perasan, selain dari kecoh hal ‘u-turn’ oleh Bank Negara berkenaan morotorium pinjaman selama enam-bulan sepanjang PKP, telah berlegar di media sosial gambar sebuah kereta elektrik kecil yang sangat mampu milik dikhabarkan akan dijual di Malaysia.
Kereta tersebut digelar sebagai Mini EV X2, dan dengan saiz yang sangat kompak, khabarnya akan dijual pada harga RM13,800 setelah diberikan diskaun berbanding harga asal RM18,800. Bukan itu sahaja, anda tidak perlu mengeluarkan tunai ‘selepuk’ untuk membeli kereta ini, kerana ia boleh dibeli dengan bayaran ansuran bulanan serendah RM159.98 untuk tempoh sembilan tahun! Gila!
Kami rasa curiga berkenaan kereta ini, jadi kami lihat sendiri laman sesawang miniev.online yang didakwa sebagai laman rasmi Mini EV Malaysia (kami tidak akan berikan anda pautannya, pandai-pandailah anda cari sendiri kalau nak tengok). Di situ, lebih banyak imej dan perincian kereta ini didedahkan.
Loading...
Brosur pada laman tersebut menyatakan bahawa Mini EV X2 akan membawa “revolusi elektrik”, dan ia didakwa telah dihomologasi dengan jarak perjalanan 120 km dengan satu cas penuh bateri. Tidak perlu wallbox canggih, di mana anda hanya perlu mengecasnya pada plag domestik biasa bagi memberikan cas 80% dalam masa lima jam, dan cas penuh selama lapan jam.
Kereta ini juga adalah kereta pacuan roda belakang, dan ia mempunyai brek cakera pada roda hadapan dan belakang. Dengan kelengkapan ini, Mini EV dicanang boleh memecut dari 0-50 km/j dalam masa 25 saat, dan mampu mencatatkan kelajuan maksima 50 km/j. Anda akan dapat mencapai kelajuan 80 km/j jika memilih versi “High Speed” yang ditawarkan.
Namun walaupun syarikat ini menyatakan anda boleh berhutang selama sembilan tahun, bateri kereta ini hanya boleh dicas sebanyak 800 kali.
Perincian lain yang turut diberikan termasuk paparan instrumen digital sepenuhnya, lampu hadapan LED automatik, skrin sesentuh bersaiz besar gila – sembilan-inci, kamera undur, dan ruang kargo cukup luas dengan kapasiti 850-liter yang terletak di belakang dua tempat duduk. Enam warna badan ditawarkan, bersama panel dalaman berwarna sama, seakan MINI sebenar.
Tak susah sebenarnya nak tahu asal usul kereta ini. Dengan carian lebih mendalam, apa yang kami jumpa Mini EV X2 ini sebenarnya dihasilkan oleh syarikat dari China iaitu Zhejiang Today Sunshine New Energy Vehicle Industry. Di pasaran republik rakyat tersebut, kereta ini dikenali dengan nama Mine M1.
Loading...
Kami turut menjumpai satu laman sesawang yang serupa dengan laman Mini EV Malaysia ini, didakwa untuk pasaran Eropah dan dijual dengan nama Today Sunshine M1. Brosur antara dua laman ini juga kelihatan serupa dengan dakwaan bahawa kereta ini boleh “dipandu oleh semua orang” bermula dari 16 tahun dengan lesen memandu B1. Di Malaysia, lesen untuk memandu ‘motokar’ seperti ini adalah dalam kelas ‘D’ ya, bukan B1.
Laman sesawang ini nampak begitu meragukan kerana tidak mempunyai dokumentasi dan nombor telefon untuk dihubungi yang lengkap, tapi ada pula nombor akaun bank CIMB untuk mereka yang berminat membuat pembayaran. Ya, hati-hati tuan-tuan, jangan sebarang bagi duit pada orang yang kita tidak kenal.
Rakan kami dari Pandulaju.com.my, Abang Gan turut telah memberitahu kami bahawa dia telah merujuk ke pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengetahui adakah kereta ini pernah memohon dan menerima sijil Vehicle Type Approval (VTA) – jawapannya tidak. Jadi jika benar pun ia dijual di sini, kereta ini haram untuk dipandu di atas jalan raya Malaysia.
Jadi, kami nasihatkan kepada anda, jangan gembira sangat dan jangan berangan dahulu untuk memiliki sebuah kereta elektrik dengan harga yang sangat murah seperti ini. Selidik dulu betul-betul sebelum membuat apa-apa bayaran. – Paultan
Please subscribe


Loading...



Loading...



Loading...



Loading...


Join our Telegram Channel