MT Umno nafi buat keputusan tolak sertai PN



Kuala Lumpur – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MT), Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan parti itu ada membuat sebarang keputusan berhubung cadangan untuk menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) secara rasmi.

Bung yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah ketika dihubungi SuaraTV berkata sehinga kini cadangan tersebut masih diperingkat perbincangan.

“Belum ada sebarang keputusan yang dibuat, setakat ini isu tersebut masih diperingkat perbincangan.

“Tambahan pula belum ada sebarang perbincangan secara rasmi bersama Perikatan Nasional jadi macam mana boleh kata Umno tolak.

“Namun saya secara peribadi merasakan sekiranya ada kebaikan untuk rakyat maka itu yang sewajarnya dilakukan (menerima PN) kerana sekarang ini kita (pemimpin) perli ikut inspirasi rakyat,” katanya sebentar tadi.


Loading...

Sementara itu menurut MT UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan cadangan tersebut masih memerlukan kajian yang lebih menyeluruh.

“Cadangan tersebut baharu sahaja dibawa untuk perhatian Majlis Tertinggi Umno, jadi kita perlukan masa untuk melihat secara keseluruhan kesannya terhadap UMNO.

“Walaupun cadangan tersebut baik, namun kena lihat kesan jangka pendek dan panjang sekiranya UMNO berada di dalam PN jadi kajian yang teliti perlu dilakukan terlebih dahulu.

Abdul Rahman turut menegaskan, buat masa itu tiada sebarang keputusan dibuat berhubung perkara itu.

“Kerana kita telah berada di dalam Barisan Nasional sejak sekian lama, jadi isu ini bukan mudah, keputusan yang dibuat ketika ini adalah menyokong kerajaan PN.

“Untuk tubuh PN secara rasmi masih perlukan masa namun kita tidak pernah menutup pintu rundingan kerana keputusan untuk menubuhkan PN adalah merupakan langkah yang cukup besar,” tegasnya lagi.


Loading...

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan parti itu menolak untuk menyertai PN secara rasmi.

UMNO memeterai piagam Muafakat Nasional bersama PAS untuk mengabsahkan kerjasama secara rasmi pada akhir tahun lalu. Parti lain dalam BN pula dianggap menyertai gabungan berkenaan melalui UMNO.

Menerusi Muafakat Nasional, BN dan PAS menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk menjadi perdana menteri kepada gabungan PN, sekali gus membawa kejatuhan Pakatan Harapan sebagai kerajaan selama 22 bulan.

Susulan pembentukan kerajaan PN di peringkat persekutuan, beberapa kerajaan negeri yang dikuasai PH juga tumbang selepas krisis politik Februari lalu, yang berlangsung kira-kira seminggu.

Akhir bulan lalu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menegaskan PN bukanlah satu gabungan yang berdaftar secara rasmi dan Umno tidak pernah menyertainya.

“Hubungan Umno dengan PN hanya satu persefahaman untuk menyelamatkan Malaysia kerana kemelut politik yang dicetuskan sendiri oleh kelompok tertentu dalam PH,” katanya yang menegaskan bentuk kerjasama itu berbeza dengan persefahaman dengan PAS dalam Muafakat Nasional yang diurus secara rasmi. – SuaraTV

ARTIKEL BERKAITAN:



Join our Telegram Channel
Telegram