
Malam ini saya telah menerima panggilan telefon daripada Tuan Yang Terutama Donald J. Trump, Presiden Amerika Syarikat.
Selain mengucapkan tahniah kepada saya dan Kerajaan yang baharu, kami menyatakan komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan kerjasama komprehensif di antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Loading...
Pada perbualan yang berlangsung selama 30 minit itu, saya dan Presiden Trump berbincang mengenai pandemik Covid-19, serta pendekatan-pendekatan yang telah diambil kedua-dua negara. Kami turut menekankan peri pentingnya kerjasama komuniti antarabangsa bagi mengurangkan kesan pandemik tersebut ke atas kesejahteraan hidup masyarakat dunia dan ekonomi global.
Usaha-usaha tersebut termasuk meningkatkan kerjasama dalam pembangunan vaksin dan ubat-ubatan serta akses sama rata kepada vaksin Covid-19 kelak.
Loading...
Pada masa yang sama, kedua-dua negara juga menzahirkan kesepakatan bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan peralatan kritikal dan bekalan lain,terutamanya semasa krisis kesihatan global.
Selain itu, kami turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu kepentingan bersama dalam konteks mengekalkan keselamatan dan keamanan antarabangsa. – Muhyiddin Yassin


Join our Telegram Channel