Kantoi fitnah, rupanya penyelenggaraan Seri Bendahara Melaka diluluskan PH Februari lalu



AYER KEROH: Kerja penyelenggaraan dan baik pulih kerosakan di bangunan Seri Bendahara iaitu kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka yang dianggarkan berjumlah RM400,000 diluluskan Februari lalu di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Ismail Abd Rahman kepada EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur Melaka, Datuk Roslan Ahmad, semalam.

Ketika ditemui di sini, Roslan berkata, adalah tidak wajar kesalahan diletakkan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana permohonan untuk menyelenggara kediaman rasmi itu dibuat oleh kerajaan PH pimpinan Ketua Menteri ketika itu, Adly Zahari.

Bagaimanapun, katanya, tidak timbul soal pembaziran wang dalam hal berkenaan kerana setiap proses penyelenggaraan aset kerajaan, termasuk Seri Bendahara dikendalikan sepenuhnya oleh JKR selepas mendapat kelulusan jabatan itu di peringkat Persekutuan.


Loading...

"Sebut harga penyelenggaraan Seri Bendahara dikeluarkan oleh JKR pada 12 Februari lalu, maknanya ia diluluskan sebelum kerajaan PN mengambil alih pentadbiran negeri.

"Sebenarnya, tiada kena mengena pun dengan kerajaan baharu atau lama, tetapi ia adalah tanggungjawab JKR untuk menyelenggara bangunan kerajaan bagi mengelakkan kerosakan sedia ada bertambah teruk.

"Ini bukan ubah suai bangunan, tetapi penyelenggaraan yang diambil tanggungjawab oleh JKR sebagai agensi pelaksana secara rutin mengikut tempoh tertentu memandangkan bangunan itu sudah menjangkau usia lebih 15 tahun," katanya.

Sehubungan itu, Roslan meminta pihak tertentu, terutama parti pembangkang supaya tidak mempolitikkan isu berkenaan, semata-mata mahu meraih simpati atau sokongan orang ramai.



"Kerja penyelenggaraan itu termasuklah membaiki beberapa bahagian rumah yang rosak, mekanikal, pengindahan serta pendawaian. Sudah sampai masanya bangunan ini diselenggara serta dipulihkan (dibaiki kerosakan) bagi mengelakkan ia bertambah teruk," katanya.

Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial mengenai kerja-kerja menyelenggaraan kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka itu, termasuk menggantikan sofa serta permaidani baharu.

Beberapa keping gambar perabot baharu turut dimuat naik di Facebook oleh sebuah syarikat dipercayai pembekal perabot berkenaan.

Ketika PH mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018, Adly mengambil keputusan tidak mendiami Seri Bendahara kerana mendakwa kononnya kos bayaran utiliti serta penyelenggaraan terlalu tinggi, sebaliknya menjadikan rumah kerajaan di Bukit Peringgit sebagai kediaman rasminya.

Sehubungan itu, kerajaan negeri ketika itu membuka Seri Bendahara untuk tatapan orang ramai untuk melihat sendiri aset kerajaan yang dibina pada 2004.

Adly juga pernah mencadangkan supaya Seri Bendahara dijadikan sebagai satu produk pelancongan bagi menambah sumber kewangan negeri. – BHarian

Seri Bendahara dibuka oleh Adly Zahari sewaktu menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka kepada orang ramai termasuk pelancong tanpa pengawasan yang menyebabkan kerosakan dan pembaziran.



Loading...






Join our Telegram Channel
Telegram