DAP, PAN nafi tandatangan SD sokong Shafie sebagai PM



Kuala Lumpur – Beberapa ahli Parlimen DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) menafikan telah menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH).

Desas-desus itu timbul apabila ada pihak mengatakan Mohd Shafie mengadakan satu pertemuan dan mesyuarat khas dengan beberapa ahli Parlimen di Kuala Lumpur kelmarin.

Menurut Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, beliau tidak dimaklumkan mengenai sebarang perjumpaan bagi menandatangani SD menyokong Mohd Shafie.

“Saya belum dengar, mungkin ada tapi saya tidak tahu dan setakat ini masih belum dapat berita mengenai perkara itu lagi,” katanya ketika ditemui di lobi parlimen.


Loading...

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berkata, tiada sebarang mesyuarat khas yang diadakan untuk menandatangani SD dengan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu.

“Saya rasa SD tak, tiada (setakat ini),” katanya ringkas.

Dalam pada itu, Naib Presiden Amanah, Datuk Hassanuddin Mohd Yunus menyifatkan sebarang keputusan penting dalam gabungan parti berkenaan mesti dimuktamadkan oleh Majlis Presiden PH.

“Menjadi hak setiap parti komponen dalam PH untuk menambah bilangan ahli Parlimen bagi berganding dengan PH untuk mengambil alih semula mandat diberikan oleh rakyat sebelum ini,” katanya.

Terdahulu Shafie mendedahkan DAP dan Amanah yang mula-mula mencadangkan namanya sebagai calon PM.


Loading...

“Ia dicadangkan oleh DAP dan Amanah. Itu bukan cadangan Dr Mahathir Mohamad. Mereka bawa idea seperti ini untuk memberi penyelesaian kerana Mahathir dan Anwar tidak boleh bekerja bersama,” katanya di Kuala Lumpur.

Menurut presiden Warisan itu, dua parti komponen PH itu membangkitkan cadangan itu sebagai pilihan ketiga bagi memecah kebuntuan setelah Anwar dan PKR tidak setuju Mahathir sekali lagi menjadi calon perdana menteri.

Shafie turut menyifatkan “pusingan-U” oleh DAP dan Amanah itu menunjukkan betapa tidak tegasnya PH.

Sementara itu, satu ciapan di Twitter mendedahkan Mohd Shafie telah mengadakan satu majlis makan malam solidariti bersama ahli-ahli Parlimen DAP di Rumah Sabah.

Ciapan yang dibuat Senator Dewan Negara yang merupakan Pengarah Pendidikan DAP Sabah, Adrian Banie Lasimbang mengatakan DAP akan terus mengukuhkan hubungan kerja dengan Warisan di Sabah.

“Blok Sabah Sarawak Borneo akan memainkan peranan penting untuk memandu politik Malaysia,” katanya dalam hantaran tersebut. – SuaraTV

ARTIKEL BERKAITAN: 


Join our Telegram Channel
Telegram