Malaysia satu-satunya negara laksana moratorium automatik 6 bulan



KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia satu-satunya negara melaksanakan moratorium secara automatik selama 6 bulan iaitu sejak April lalu dan akan berakhir September ini.

“Dalam kalangan negara perkenalkan moratorium, Malaysia satu-satu negara terawal laksanakan moratorium secara automatik dan hanya Malaysia membuat moratorium 6 bulan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Loading...

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Noh Omar (PN- Tanjung Karang), mengenai impak moratorium pada rakyat dan perniagaan.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata antara negara melaksanakan moratorium adalah Singapura, Thailand, Filipina, United Kingdom, Itali, Kanada dan Amerika Syarikat.

Katanya, kerajaan komited membantu rakyat dan perniagaan, buat masa ini perbincangan sedang dijalankan mengenai hala tuju moratorium dan keputusan akan dibuat dalam masa terdekat.

Loading...

Terdahulu, Tengku Zafrul berkata bantuan moratorium yang disasarkan selama 6 bulan bermula April hingga September ini bertujuan membantu peminjam individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mengurangkan beban aliran tunai, terutama ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang memberikan kesan secara langsung kepada kegiatan ekonomi.

Katanya, sehingga kini lebih 7.7 juta rakyat atau 93% peminjam individu, serta lebih 243,000 perniagaan atau 95% peminjam PKS memanfaatkan moratorium pinjaman itu.

“Walaupun moratorium tidak meliputi hutang pemegang kad kredit, namun bagi mereka yang menghadapi masalah kewangan, bank menawarkan penukaran baki tertunggak kad kredit kepada pinjaman berjangka untuk tempoh sehingga 3 tahun dengan kadar faedah lebih rendah daripada kadar kad kredit biasa,” katanya. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram