Sekolah rendah wajar ditutup semula



PENINGKATAN jumlah kes Covid-19 jelas menunjukkan kepada kita bahawa semua pihak tidak boleh melakukan kesilapan.

Baru sedikit kita buka ruang, wabak itu terus menerpa. Melonggarkan kuarantin di rumah mereka yang pulang dari luar negara sahaja sudah cukup memeningkan kepala.

Apatah lagi apabila anak-anak kecil kini mula memasuki sekolah rendah yang dibuka semula.

Bukan sahaja ibu bapa yang bimbang, tetapi guru-guru sendiri gusar dengan keputusan kerajaan itu.

Mengapa perlu tergesa-gesa untuk buka sekolah, sedangkan risiko masih tinggi.

Loading...

Oleh itu syor supaya kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan menutup semula sekolah rendah kerana penularan pandemik Covid-19 masih belum pulih sepenuhnya di negara ini adalah wajar.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin lapor Utusan Malaysia berkata, murid sekolah rendah khususnya dari darjah satu hingga tiga, majoriti mereka tidak faham tentang apa itu penjarakan sosial.

“Mereka (murid SK) ini tidak akan buat dan tidak faham penjarakan sosial, tak akan hendak mengharapkan cikgu jaga semua.

“Saya sendiri sempat meninjau di SK Jalan Bahagia, Temerloh dan saya dapati murid-murid khususnya darjah satu hingga darjah tiga, mereka tidak faham dan tidak bersedia untuk mula bersekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Loading...

Sesi persekolahan murid tahun lima dan enam dibuka semula bermula 15 Julai lalu manakala bagi murid darjah satu hingga empat, sesi persekolahan mereka bermula semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, kerajaan tidak seharusnya bertindak tergesa-gesa dan jangan nanti apabila wujud kluster baharu membabitkan murid SK, baharu mahu bertindak.

Selain SK ditutup semula, beliau juga mencadangkan supaya pelajar dari tingkatan satu hingga tiga turut diarahkan bercuti.

“Hanya pelajar dari tingkatan empat hingga lima yang terlibat dalam sesi persekolahan sehingga kita benar-benar yakin penularan wabak ini dapat dikawal sepenuhnya dan vaksin ditemui,” katanya.

Bertindaklah segera sebelum ia terlambat hingga tercetus gelombang kedua jangkitan virus maut ini. – SM



Join our Telegram Channel
Telegram