1,299 ahli Bersatu Johor Bahru keluar parti



JOHOR BAHRU - Selepas beberapa ahli dari tiga bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Johor mengumumkan keluar parti beramai-ramai, kini ahli bahagian Johor Bahru pula mengikut langkah yang sama.


Seramai 1,299 ahli Bersatu Bahagian Johor Bahru bertindak keluar parti dalam satu pengumuman yang diadakan di Restoran Jaws Crown, Kempas, di sini, malam tadi.

Pengerusi Gerakan Jom Keluar Bersatu, Mohd Yusoff Ishak berkata, ahli-ahli yang keluar itu melibatkan akar umbi di kesemua 14 cawangan dalam Bahagian Bersatu Johor Bahru.


"Jumlah ini adalah teramai setakat ini berbanding minggu lalu apabila 1,000 ahli Bersatu Bahagian Pagoh diketuai pengasasnya, Abd Wahab Ibrahim memutuskan keluar parti.

"Kita berjaya mengumpul tandatangan Akuan Berkanun (SD) 1,200 ahli bahagian Johor Bahru yang membuat keputusan meninggalkan parti berkenaan kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pusat," katanya kepada pemberita.

Sebelum ini ahli-ahli Bersatu Bahagian Simpang Renggam dan Kota Tinggi mengisytiharkan keluar parti diikuti bahagian Pagoh.

Beliau berkata, sebanyak 54 peratus ahli keluar parti mengambil keputusan menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad manakala yang lain ingin menyertai UMNO termasuk mereka yang tidak mahu lagi menjadi ahli dalam parti politik.


Yusoff berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai lagi ahli Bersatu mengikut jejak langkah mereka dalam masa terdekat akibat hilang kepercayaan kepada parti yang dijangka memberi kesan terhadap sokongan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Beliau melihat wujudnya gelombang dalam kalangan ahli-ahli adalah disebabkan tidak puas hati dengan cara kepimpinan Bersatu yang menafikan mandat rakyat.

"Sewaktu pilihan raya lalu, rakyat undi kita sebab Pakatan Harapan (PH), tetapi akhirnya pemimpin Bersatu buat keputusan bersama Barisan Nasional (BN). Ini menyebabkan kami mengambil keputusan drastik ini untuk keluar parti dan ingin bersama Dr Mahathir," katanya. – Sinar


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram