Anifah ganti Shafie dan Musa



KOTA KINABALU: Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman meminta abangnya, Tan Sri Musa Aman berundur dari arena politik bagi memberi laluan generasi baharu mengambil alih pemerintahan Sabah.

"Musa adalah abang saya dan saya sayangkan dia. Namun dalam politik ia berbeza. Sebagai rakyat Sabah, saya menghargai apa yang dia telah buat untuk Sabah.

"Tetapi saya fikir masanya sudah berlalu dan dia seharusnya memberi laluan kepada orang muda untuk mengambil alih. Mungkin apa yang dia buat adalah betul untuk sesuatu masa, tetapi cita rasa telah berubah.

"Tiada keperluan untuk melihat saya sebagai adik Musa Aman. Dia harus melihat saya sebagai pemimpin sebuah parti, sama ada saya mampu memimpin atau sebaliknya," katanya pada sidang media khas semalam.


Beliau mengulas usaha Musa yang juga bekas Ketua Menteri Sabah yang mendakwa memperoleh majoriti mudah membentuk kerajaan negeri pada 30 Julai lalu tetapi usaha itu gagal.

Ini berikutan, selepas pengumuman Musa itu, Yang di-Pertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) atas nasihat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sementara itu, sidang media khas diadakan bagi menjelaskan hala tuju Anifah dalam menerajui parti tempatan di Sabah, Parti Cinta Sabah (PCS).

Anifah berkata, demi mengangkat martabat dan memperjuangkan hak rakyat Sabah, beliau bersetuju dilantik sebagai Presiden PCS kerana kesuntukan masa untuk membina parti baharu.


"Salah satu sebab kenapa kita bersetuju untuk mengambil alih PCS kerana kesuntukan masa untuk membentuk parti baharu.

"Kita sudah menghantar permohonan sejak dua tahun lalu tetapi tiada maklum balas. Disebabkan kita sudah menjangkakan ada pilihan raya bakal diadakan, kita mungkin tidak dapat menguruskan pendaftaran pada waktu yang tepat.

"Jadi kita bersetuju menjenamakan semula PCS bagi memperjuangkan Sabah," katanya.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kimanis, berkata pihaknya mahu menumpukan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, tiada keperluan untuk membentuk sebarang jawatankuasa bagi meneliti sebelum melaksanakan semua tuntutan dalam MA63 itu kerana ia sudah termaktub di dalam Perlembagaan. – Bharian



Join our Telegram Channel
Telegram