Bersatu pertimbang lantik Azmin naib presiden parti



TANJUNG MALIM: PPBM akan membincangkan pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai seorang daripada naib presiden parti, kata Timbalan Presiden PPBM Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti yang akan diadakan bagi membincangkan pelbagai perkara dalam usaha memperkukuhkan parti.

“Kita akan bincang perkara itu (pelantikan Azmin) dalam EGM yang kita rasakan sesuai diadakan bersekali dengan perhimpunan agung tahunan PPBM (nanti),” katanya pada sidang media selepas melawat pusat media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim hari ini.

Turut hadir Azmin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.


Faizal berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan Azmin yang menyertai PPBM semalam, dikatakan akan dilantik sebagai naib presiden parti.

Ketika ini, PPBM mempunyai 3 naib presiden yang dipilih iaitu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee, Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Mohd Rafiq Naizamohideen.

Faizal berkata, EGM itu juga akan membincangkan mengenai pindaan perlembagaan parti dalam usaha menarik lebih ramai ahli bukan Melayu dan Bumiputera menyertai PPBM.

Ditanya mengenai pemilihannya sebagai timbalan presiden PPBM, Faizal yang juga menteri besar Perak berkata beliau yakin mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik.


“Saya kira bernasib baik kerana ada presiden (Muhyiddin Yassin) yang amat disegani ahli dan rakyat, saya juga ada banyak ‘abang’, pemimpin (berpengalaman dalam parti) yang boleh beri nasihat,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas isu dimainkan pembangkang selepas beliau mengaku anak angkat kepada Dr Mahathir Mohamad, Faizal berkata beliau banyak terhutang budi kepada bekas perdana menteri itu termasuk dari segi didikan dalam dunia politik.

“Perasaan saya sampai sekarang saya anggap ayahanda Tun (Mahathir) seperti bapa saya, saya tetap sayangkan Mahathir walaupun tidak lagi bersamanya sekarang,” katanya.

Mengenai PRK DUN Slim, Faizal berkata jentera PPBm ikhlas dan komited dalam bekerja membantu Barisan Nasional (BN) dan calonnya Mohd Zaidi Aziz memperoleh kemenangan. – FMT

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram