Pokok tumbang, bumbung tercabut, ribut di Melaka ngeri menakutkan



Kejadian ribut yang melanda Melaka pagi tadi menyebabkan kejadian pokok tumbang di 35 lokasi membabitkan sekolah, jalan raya serta taman perumahan di sekitar daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata daripada jumlah itu, sebanyak 33 lokasi membabitkan daerah Melaka Tengah manakala dua lagi di daerah Alor Gajah.

Beliau berkata antara lokasi tersebut ialah Sekolah Kebangsaan Batu Berendam 1, Klinik Desa Batu Berendam, Taman Melaka Baru, Pulau Gadong, Jalan Cheng di daerah Melaka Tengah manakala daerah Alor Gajah membabitkan Tanjong Dahan di Kuala Sungai Baru dan Kampung Telok Gong.


"Hujan lebat berserta ribut bermula 9 pagi tadi menyebabkan banyak kes pokok tumbang dan ada antaranya menghempap kenderaan serta rumah namun sehingga kini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

"Kerja-kerja pembersihan dan mengalih pokok tumbang terbabit sedang giat dilakukan dan ia masih berlangsung melibatkan pelbagai agensi antaranya APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak berkuasa tempatan," menurut Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri itu dalam kenyataan di Melaka malam ini.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi mendapati kerja-kerja mengalih pokok tumbang masih dijalankan dan terdapat jalan raya yang hanya dibuka satu laluan bagi memastikan ia berjalan lancar.

Sementara itu, seramai 28 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim, di Melaka cedera ringan selepas terkena serpihan siling blok B dan C yang tercabut akibat ribut yang berlaku dalam kejadian pada 10 pagi tadi.


Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon berkata kejadian yang berlaku ketika waktu rehat itu mengakibatkan mangsa di empat bilik darjah di tingkat teratas bangunan yang terdiri daripada murid Tahun Dua dan Tahun Lima itu dihantar ke Hospital Melaka dan Klinik Kesihatan Tengkera untuk rawatan selanjutnya.

“Enam murid menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital manakala 22 murid lagi menerima rawatan di klinik kesihatan. Murid-murid lain dibenarkan balik ke rumah masing-masing dan mereka berada dalam keadaan stabil.

“Pihak Jabatan Pendidikan Negeri Melaka telah memaklumkan bahawa setakat ini keputusan awal adalah kita memberikan cuti dua hari kepada murid-murid sekolah ini iaitu hari ini dan esok. Selain itu, kita akan mengkaji keperluan sama ada cuti (dilanjutkan) atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan di SJKC Malim di Melaka hari ini.

Turut melawat lokasi kejadian ialah Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali, Pengarah Pendidikan Melaka Dr Mohd Azam Ahmad dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Abu Obaidat Mohamad. – Bernama



Join our Telegram Channel
Telegram