Syed Saddiq tolak parti Dr M, bakal tubuh parti baru?



CYBERJAYA – Ketidakhadiran Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di sidang media Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lalu mencetuskan spekulasi bekas Ketua Pemuda (Armada) PPBM itu mungkin menukar haluan dan bakal menubuhkan parti baru secara berasingan, lapor Malaysiakini.

Portal itu berkata, sikap Syed Saddiq yang terus membisu sehingga kini menguatkan lagi spekulasi bahawa wujud rancangan di pihak Ahli Parlimen Muar itu untuk menubuhkan satu parti politik baru yang berasaskan belia, bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti.

Memetik laporan yang sama, bekas exco Pemuda PPBM, Ulya Aqamah Husamudin yang hari ini mengumumkan keluar parti itu, turut memberi bayangan bahawa memang ada rancangan berhubung “gerakan” baru berasaskan belia.

“Buat masa sekarang, kami sedang bincang dan rancang. Apa yang pasti, kami akan mulakan gerakan belia.


“Sama ada itu menjelma sebagai satu parti, itu belum dapat dipastikan kerana ada beberapa ahli belia dari parti lain mungkin akan turut serta,” katanya, mengulas rancangan masa depan politik Syed Saddiq.

Akhir Jun lalu, Syed Saddiq pernah menarik perhatian ramai apabila memuat naik status di twitternya yang mengkritik perebutan kuasa di kalangan ‘orang tua’ dalam arena politik negara.

“Kita perlu lebih ramai belia dalam politik, bukannya orang tua yang berebut kuasa. Berkhidmat untuk memimpin,” katanya.

Jumaat lalu, Dr Mahathir mengumumkan parti baru, serpihan dari PPBM, akan ditubuhkan dalam masa terdekat’ di mana beliau sendiri dilantik sebagai Pengerusi, manakala anak lelakinya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan memegang jawatan Presiden parti.


Dr Mahathir berkata, asas perjuangan parti yang belum diberi nama itu masih mengekalkan dasar asal PPBM yang diasaskannya pada 2016, iaitu menghapuskan rasuah dan kleptokrasi.

Dalam perkembangan berasingan, menerusi wawancara ringkas atas talian dengan CNBC Indonesia selepas sidang media itu, Dr Mahathir turut menyatakan kesediaan kembali menjadi Perdana Menteri untuk kali ketiga.

“Sekiranya ada permintaan dan (tidak ada) calon lain, saya rasa adalah tanggungjawab saya untuk berkhidmat kepada negara.

“Saya dah berumur 95 tahun. Jadi ada perkara yang tidak dapat saya lakukan. Tetapi jika diminta memberi nasihat, pandangan atau memegang jawatan tertentu,..

“Atau menjadi Perdana Menteri untuk jangka pendek, mungkin saya akan mempertimbangkannya,” katanya. – SuaraTV


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram