Selain UAE, Turki, Mesir, Jordan sudah lama jalin hubungan dengan Israel



Dunia Islam dikejutkan dengan tindakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mengadakan perjanjian damai bersama Israel, sekaligus ‘menormalkan’ hubungan diplomatik antara rejim Zionis dan negara kaya minyak itu.

Dikhabarkan, perjanjian tersebut dimeterai melalui panggilan telefon antara Presiden AS, Donald Trump, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Putera Mahkota UAE, Sheikh Mohammed Zayed.

Rentetan keputusan tu, pelbagai reaksi dah diberikan dari kalangan negara-negara dunia dan yang paling terkesan semestinya Palestin yang menyifatkan keputusan itu sebagai pengkhianatan terhadap Baitulmaqdis, Al-Aqsa dan perjuangan Palestin.

Israel kemudiannya mengambil tindakan menghentikan perluasan penempatan di tanah Palestin.

Bagaimanapun, UAE dalam kenyataannya ada kata yang keputusan tu adalah pendekatan realistik, di samping menghalang perluasan penempatan Israel dan membuka ruang lebih luas dalam usaha penyelesaian dua buah negara antara Israel – Palestin.

Tapi, apa yang berlaku ni bukanlah satu perkara baru sebab ada je negara-negara majoriti Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Antaranya adalah seperti…



Turki: Negara majoriti Islam pertama yang buat hubungan diplomatik dengan Israel

Kalau korang nak tahu, setahun selepas Israel ditubuhkan (1949) – ia dah pun ada hubungan diplomatik dengan Turki. Tapi, Turki masa tu di bawah pengaruh sekular, di mana perjuangan Palestin masih lagi tak mendapat tempat dalam pentadbiran Turki.

Menjelang tahun 1990-an, hubungan Ankara dan Tel Aviv makin rancak apabila membabitkan perkembangan ekonomi, pendidikan, ketenteraan dan budaya.

Ketua Misi Turki, Seyfullah Esin (tengah) bertemu dengan Chaim Weizmann (Presiden Israel pertama) & Moshe Sharett (PM Israel).

Malah, Israel masa tu ada buat latihan ketenteraan dengan Turki. Namun, keadaan mula berubah selepas Erdogan dan partinya, AKP mula mentadbir Turki. Hubungan Turki dengan Israel mula renggang apabila Erdogan meletakkan perjuangan Palestin sebagai salah satu agenda utama diorang.

Keadaan bertambah serius bila terjadinya serangan ke atas misi kemanusiaan Mavi Marmara oleh Israel pada Mei 2010, yang menyebabkan kematian 9 orang rakyat Turki. Peristiwa tu dah membuatkan hubungan antara Turki dan Israel buruk, apatah lagi bila Turki membawa isu tu ke PBB dan NATO.

Walaupun begitu, hubungan antara dua negara ni kembali normal semula selepas beberapa tahun. Laporan juga ada menyebut, meskipun hubungan dingin – perdagangan antara kedua negara ini masih lagi meningkat.

Erdogan bersalaman dengan PM Israel, Ariel Sharon pada 2005. Imej dari TRT World.

Dalam perkembangan hubungan antara UAE dan Israel ni, nampaknya Turki muncul sebagai antara negara yang mengecam tindakan UAE – sehingga Presiden Erdogan tak menolak untuk mengggantung hubungan negara itu dengan UAE.

“Saya memberitahunya (menteri luar negeri) kita juga mungkin mengambil langkah ke arah menggantung hubungan diplomatik dengan kepemimpinan Abu Dhabi atau menarik kembali duta besar kita.” – Erdogan, dipetik dari Al-Jazeera.

Walaupun begitu, tindakan Ankara tu nampak agak pelik juga, sebab diorang marah UAE ada hubungan diplomatik dengan Israel – tapi dalam masa sama diorang sendiri ada hubungan dengan Israel.



Mesir: Negara rantau pertama yang meterai perjanjian damai dengan Israel

Hubungan antara Mesir dan Israel sebenarnya tak la baik pada asalnya, kerana ia memang tak mengiktiraf kewujudan Israel pada tahun 1948.

Bila berlakunya Perang Arab-Israel pada tahun sama – Mesir menjadi antara negara yang masuk dalam gabungan Arab menentang IsraelbMalangnya, Arab kalah dalam perang tu.

Kemudian, Mesir – Israel bertempur lagi pada1953 akibat perebutan Terusan Suez yang menjadi laluan utama perdagangan dunia.

Dari kiri: Muammar Gaddafi (Libya), Yasser Arafat (Palestin) dan Gamel Abdel Nasir (Mesir).

Israel menyerang Sinai dengan sokongan Britain dan Perancis, tapi menarik diri selepas mendapat tekanan antarabangsa.

Tak lama lepas tu, berlaku sekali lagi Perang Arab-Israel pada 1967 atau dikenali sebagai Perang Enam Hari. Dalam perang ni, Mesir dilaporkan dah mengerahkan hampir 100,000 tentera.

Israel menyerang balik dan berjaya menewaskan gabungan Arab dalam perang itu. Kesannya, Israel berjaya menawan Semenanjung Sinai dan merampas wilayah Semenanjung Gaza, Tebing Barat, dan Golan.

Perang terakhir antara Mesir dan Israel adalah pada tahun 1973 bila tercetusnya Perang Yom Kipur yang diketuai Mesir dan Syria.

Perang ni jadi dari 5 Jun hingga 10 Jun 1967.

Bagaimanapun, Tel Aviv berjaya mematahkan usaha dua negara ini, sehingga membuatkan adanya genjatan senjata antara negara-negara bertelagah.

Hubungan yang pahit itu kemudiannya berakhir apabila Mesir di bawah pimpinan Anwar Sadat yang membuat keputusan untuk menandatangani Perjanjian Damai Kem David pada 1978.

Sebagai imbalan perjanjian, Semenanjung Sinai diserahkan kembali kepada Mesir, dan Kaherah mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara.

Akan tetapi, ketika itu masih ramai yang tak puas hati dengan tindakan Mesir, sampaikan negara itu diusir dari Liga Arab kerana dianggap mengkhianat.

Anwar Sadat (kiri) bersalaman dengan PM Israel, Menachem Begin sambil diperhatikan oleh Presiden AS, Jimmy Carter.

Rasa tak puas hati ni juga mendorong tindakan Egyptian Islamic Jihad membunuh Anwar Sadat tiga tahun selepas perjanjian.

Dalam perkembangan terbaru, nampaknya Mesir menerima baik tindakan UAE dengan kata:

“Saya mengikuti dengan penuh minat dan penghargaan terhadap pernyataan bersama antara Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu dan Israel untuk menghentikan perluasan Israel ke atas tanah Palestin dan mengambil langkah-langkah untuk membawa perdamaian di Timur Tengah.” – Abdel Fattah el-Sisi, Presiden Mesir. Dipetik dari Twitter-nya.



Jordan: Mulakan hubungan diplomatik degan Israel selepas Perjanjian Oslo

Pada tahun 1921, ketika banyak tanah Arab di bawah jajahan – Britain dah melantik seorang putera bangsawan Arab, Abdullah bin Hussein sebagai pemerintah di satu kawasan yang dipanggil sebagai Transjordan.

Pada 1946, wilayah itu akhirnya merdeka dan dua tahun lepas tu dinamakan sebagai Jordan. Pada mulanya, Jordan bersetuju dengan rancangan pemisahan dua negara – Arab dan Israel oleh PBB pada 1947.

Bagaimanapun, masa jadinya Perang Arab – Israel 1948, Jordan menyertai perang itu akibat tekanan negara-negara Arab dan dapat menguasai Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Pasukan Jordan pada antara tahun 1934–1939.

Akan tetapi, bila terjadinya Perang Enam Hari, Israel berjaya menguasi balik wilayah-wilayah itu.

Menjelang tahun 1972, Raja Hussein ada mencadangkan rancangan Kerajaan Arab Bersatu yang menjadikan persekutuan antara Jordan, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Tapi, rancangan tu dibantah Mesir dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Pada tahun 1987, telah ada usaha untuk mewujudkan perdamaian antara Jordan-Israel melalui Perjanjian London, tapi ia menemui kegagalan.

Setahun lepas tu, Jordan buat keputusan untuk melepaskan kedaulatannya ke atas Tebing Barat. Kemudian, PLO dan Israel menandatanganni Perjanjian Oslo pada 1993.

PM Israel Yitzhak Rabin bersalaman dengan Raja Hussein (Jordan) sambil Bill Clinton di tengah.

Dengan perkembangan tu, Jordan pun buat perjanjian damai dengan Israel pada 26 Oktober 1994.

Deklarasi tersebut melindungi peranan Jordan terhadap tempat-tempat suci Islam di Baitulmaqdis dan juga menjadi titik mula hubungan diplomatik rasmi antara Jordan – Israel.

Reaksi Jordan dengan keputusan UAE ni adalah:

“Jika Israel mengambilnya sebagai insentif untuk mengakhiri pendudukan… ia akan menggerakkan wilayah itu menuju perdamaian yang adil.” – Ayman Safadi, Menteri Luar Jordan. Dipetik dari Al-Jazeera.



Oman dan Bahrain diramal akan ikut jejak UAE tak lama lagi?

Dalam perkembangan tindakan UAE itu, pendirian Malaysia juga tak kurang pentingnya – sebagai salah sebuah negara yang lama menyokong perjuangan Palestin.

Malaysia dalam satu kenyataan ada kata yang kita tetap konsisten tak akan menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel.

Tapi dalam masa sama, keputusan tu tak akan menjejaskan hubungan Malaysia dengan UAE, kerana itu adalah hak kedaulatan negara Arab itu.

PM Israel, Benjamin Netanyahu ketika bertemu dengan Sultan Oman, Sultan Qaboos pada 2018.

Dalam masa sama, media Israel ada melaporkan yang Menteri Perisikan Israel, Eli Cohen berkata –  dua lagi negara Teluk – Oman dan Bahrain akan ikut jejak UAE tak lama lagi.

Hal ni juga ada dikaitkan dengan lawatan Netanyahu ke Oman dua tahun lalu.

Mengulas perkara tu, geostrategis Azmi Hassan berkata – kalau negara Arab dan Islam lain tak mencemuh dan memberi tekanan terhadap tindakan UAE – maka ada kemungkinan negara-negara tersebut akan menjalinkan hubungan dengan Israel.

Ia juga dilihat penting oleh negara-negara berkenaan sebab usaha tu mendapat perhatian positif dari AS. – Soscili / Cinca

Laporan media Israel pada Oktober 2018.


Join our Telegram Channel
Telegram