SOLIDARITI: Nama Jalan Raja Laut 1 ditukar kepada Jalan Pelestin



Sebagai tanda solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin, nama Jalan Raja Laut 1 yang terletak di pusat bandar Kuala Lumpur kini dinamakan sebagai Jalan Palestin.

Perkara itu dinyatakan Kementerian Wilayah Persekutuan dalam satu hantaran Facebook hari ini.

"Proses untuk mengenal pasti jalan yang sesuai sebagai Jalan Palestin telah mengambil masa yang agak lama kerana perlu dibuat secara teliti dan juga perlu melalui prosedur yang ditetapkan.


"Pengisytiharan nama Jalan Palestin ini adalah berkuat kuasa mulai 26 September 2020," kata kementerian itu.

Menurut kementerian itu lagi, idea penukaran nama jalan berkenaan tercetus ketika acara Himpunan Hari Al-Quds sedunia yang berlangsung pada Mei tahun lalu.

Majlis perasmian pertukaran nama Jalan Raja Laut 1 kepada Jalan Palestin itu dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham A Dahlan yang berlangsung di Menara DBKL, semalam.


Turut menyertai perasmian itu adalah Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.

Gambar perasmian jalan tersebut turut dikongsi oleh laman Facebok Viva Palestina Malaysia.

Menurut laman Facebook itu, langkah itu dapat memperluas hubungan dua hala antara dua negara dan menegaskan sokongan rakyat Malaysia terhadap Palestin. – Mkini 











Join our Telegram Channel
Telegram