Jangan tekan rakyat untuk tingkat pendapatan negara, kata penasihat ekonomi Dr M



SHAH ALAM: Penasihat ekonomi bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mencadangkan kepada kerajaan persekutuan supaya tidak mengambil langkah yang menekan rakyat dalam usaha meningkatkan pendapatan negara yang terjejas akibat Covid-19.

Muhammed Abdul Khalid juga berkata, dalam usaha menangani krisis Covid-19, yang melanda seluruh dunia termasuk di Malaysia, pentadbiran Putrajaya dan negeri boleh meningkatkan defisit bagi memastikan kesejahteraan rakyat setiap peringkat terpelihara.

“Jangan tingkatkan pendapatan negara dengan bertindak menekan rakyat. Kalau tekan rakyat, ekonomi akan menguncup. Jika defisit tinggi, ia tidak mengapa kerana ini adalah kes yang tidak pernah kita jangkakan. Tidak ada gunanya defisit berkurangan, tetapi rakyat sengsara.


“Kerajaan begitu kedekut ketika ini, kita harus berbelanja. Dalam masa panjang, jika tidak ada yang bekerja, maka tidak ada yang membayar cukai. Jadi lebih baik kerajaan berbelanja sedikit, supaya orang boleh bekerja dan membayar cukai.

“Ia juga supaya ‘Mak Cik Kiah; boleh dapat pelanggan,” katanya pada forum bertajuk “Pemulihan Ekonomi Pasca Covid-19” dalam acara Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di sini, hari ini.

“Mak Cik Kiah” merupakan nama suri rumah fiksyen yang dijadikan contoh oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dalam usaha kerajaan membantu individu terkesan wabak Covid-19 sewaktu mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi pada Mac lalu.

Muhammed berkata, dalam suasana norma baru, Putrajaya juga digesa melihat lebih mendalam ketika menilai sesuatu pekerjaan.


Beliau mengambil contoh pengorbanan petugas penghantar makanan e-hailing yang bertungkus lumus sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Norma baru memerlukan kita menilai sesuatu pekerjaan, semasa Covid-19, khidmat ketua pegawai eksekutif (CEO) adalah tidak berguna, pekerja ‘e-hailing’ juga yang berguna. Tetapi berapakah gaji yang mereka dapat?

“Kita perlu fikir semula kadar gaji yang ditetapkan. Dasar percukaian negara juga boleh dikaji, termasuk sistem pendidikan dan sistem yang melibatkan pekerja asing.

“Hendak dikatakan orang susah tidak mahu bekerja dan tidak boleh terima norma baru, tidak boleh,” katanya. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram