Kita tidak akan benarkan UMNO masuk Sarawak – Abang Johari



KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus menghalang UMNO daripada melebarkan sayapnya ke negeri ini.

Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Ketua Menteri  berkata parti politik yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia tidak memahami Sarawak sebaik pemimpin negeri ini sendiri.

“Di Sarawak tidak ada platform lain. Kita tidak akan benarkan UMNO masuk Sarawak kerana mereka tidak tahu apa yang terbaik untuk Sarawak.

“Sebab itu kita tidak mahu mereka masuk Sarawak. Kita jaga kita. Apabila kita bersatu, kita dapat lindungi diri kita (Sarawak),” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Asrama Komuniti Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di Dewan Serbaguna Kompleks DBNA di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata beliau yakin Sarawak mampu mencapai status negeri termaju dalam Malaysia menjelang tahun 2030.

“Dari segi ekonomi, saya percaya kita dapat muncul negeri maju pada 2030.

“Kita sudah ada tambahan pendapatan daripada cukai jualan ke atas produk Petroleum serta dari Petronas.


“Saya juga ada model lain untuk meningkatkan lagi pendapatan negeri kita tetapi saya tidak mahu dedahkan dulu,” katanya.

Abang Johari juga berkata Sarawak bertuah kerana pemimpinnya dapat bekerja sebagai sebuah pasukan.

“Jika kita berpecah kita tidak dapat bergerak ke hadapan. Itu yang berlaku di Semenanjung Malaysia.

“Meskipun Melayu adalah majoriti di Semenanjung Malaysia namun mereka berpecah dan sebab itu mereka tidak dapat bergerak ke hadapan,” katanya. – UtusanBorneo



Join our Telegram Channel
Telegram