Pemberontak Houthi Yaman serang perkampungan Arab Saudi



RIYADH: Lima orang awam cedera selepas tembakan peluru yang dilepaskan pemberontak Yaman, Huthi mengenai sebuah kampung di wilayah Jizan, selatan Arab Saudi, semalam.

Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan, orang awam itu dikejarkan ke hospital dan hanya mengalami 'kecederaan ringan' akibat serpihan.

Tiga kenderaan juga dilaporkan rosak di sempadan perkampungan itu, namun nama kampung itu tidak dedahkan.


Pemberontak Houthi yang mendapat sokongan Iran ketika ini dilaporkan masih belum mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Sejak beberapa bulan lalu, pemberontak Syiah mula menggunakan misil dan serangan dron ke atas Arab Saudi dan mula menyasarkan wilayah selatan serta sempadan yang panjang antara dua negara, termasuklah Riyadh.

Gabungan beberapa negara diketuai Arab Saudi yang sudah lima tahun berperang dengan Huthi mendakwa mereka berjaya memintas kebanyakan serangan itu.

Arab Saudi yang dipimpin Ahli Sunnah berkali-kali menuduh Iran yang majoriti Syiah membekalkan senjata yang canggih kepada Huthi, namun Tehran menafikan perkara itu.


Walaupun dibantu oleh negara Barat termasuk Amerika Syarikat, gabungan negara itu kekal bergelut dengan kehadiran militan Huthi yang pakar dalam taktik serangan gerila.

Negara gabungan campur tangan dalam menyokong kerajaan Yaman pada 2015 selepas Huthi menawan Sanaa dan menutup kerajaan sementara yang berpangkalan di Aden.

Sejak itu, berpuluh ribu penduduk khususnya orang awam terbunuh dan jutaan terpaksa melarikan diri sehingga memaksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggelar situasi itu sebagai 'kecelakaan kemanusiaan'. – AFP








Join our Telegram Channel
Telegram