KUALA LUMPUR: PETRONAS mencatatkan kerugian RM21.0 bilion pada suku kedua
berakhir 30 Jun 2020 berbanding keuntungan RM14.7 bilion dalam tempoh sama
2019.
Ia adalah suku tahunan pertama syarikat minyak dan gas nasional itu
mencatatkan kerugian sejak suku keempat tahun kewangan 2015.
Kerugian dicatatkan itu berikutan pendapatan yang rendah dan kerugian rosot
nilai bersih terhadap aset yang ketara berikutan semakan menurun tinjauan
harga minyak yang terjejas oleh permintaan lemah susulan penularan COVID-19
dan keadaan lebihan bekalan dalam pasaran.
Rizab minyak, gas asli dan tenaga lain dipertimbangkan sebagai aset jangka
panjang untuk tujuan perakaunan dan syarikat perlu melakukan ujian rosot nilai
susulan perubahan dalam pergerakan harga minyak.
Pada suku kedua 2020, harga Brent terus jatuh dengan paras purata sekitar
AS$29.20 setong berbanding AS$68.83 setong.
Pada suku kedua 2020, PETRONAS meraih pendapatan sebanyak RM34.0 bilion, 42
peratus lebih rendah berbanding RM59.1 bilion yang dicatatkan pada suku sama
2019.
Bagi separuh pertama 2020, PETRONAS mencatatkan kerugian RM16.5 bilion,
sementara pendapatannya merosot 23 peratus kepada RM93.6 bilion.
Jika tidak termasuk kerugian rosot nilai, PETRONAS berupaya mencatatkan
keuntungan RM7.7 bilion pada separuh pertama 2020.
Walaupun mencatatkan kerugian, syarikat minyak dan gas nasional itu berjaya
mengekalkan aliran tunai daripada operasi (CFFO) yang positif pada paras
RM26.3 bilion.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS yang baharu dilantik 1
Julai lalu, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, berkata industri minyak dan
gas berdepan cabaran pada separuh pertama tahun ini yang disifatkan sebagai
tempoh 'Great Reset' kepada industri.
Beliau berkata, keadaan pasaran mencabar dan tidak pernah berlaku itu,
menjejaskan industri secara ketara, yang mana PETRONAS juga tidak terkecuali
daripada terkesan.
"Kita akan terus berdepan cabaran yang pelbagai dengan penularan COVID-19 dan
ia dijangka berterusan pada separuh kedua 2020.
"Tumpuan kami adalah memastikan PETRONAS kekal kukuh untuk terus mengharungi
perubahan baharu yang dicetuskan lebihan bekalan yang berlarutan di
tengah-tengah pengurangan permintaan," katanya pada sidang media mengumumkan
prestasi kewangan separuh pertama 2020 PETRONAS di sini, hari ini.
Setakat 30 Jun 2020, jumlah aset PETRONAS berkurangan kepada RM613.0 bilion
berbanding RM622.4 bilion pada 31 Disember 2019, berikutan kerugian rosot
nilai bersih terhadap aset.
Ekuiti pemegang saham berkurangan kepada RM351.5 bilion setakat 30 Jun 2020
berbanding RM389.1 bilion setakat 31 Disember 2019.
Join our Telegram Channel