PN, BN, sekutu ada 41 kerusi, KM belum muktamat



Mesyuarat para pemimpin Gabungan Rakyat Sabah di Hotel Magellan Sutre di Kota Kinabalu mendedahkan PN, BN dan sekutunya sekarang memiliki 41 kerusi DUN dan mahu calon mereka mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah yang baru hari ini.

Bagaimanapun, sumber parti memberitahu Malaysiakini setakat tengah hari ini, gabungan itu masih belum dapat mengesahkan calon ketua menteri mereka.

Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin dilihat di hotel itu dan hanya berjalan ke bilik mesyuarat diiringi Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Terdahulu, parti itu diwakili Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.


Ketua Bersatu Sabah Hajiji Mohd Noor dan pemipin Umno Bung Moktar Radin antara yang disebut-sebut sebagai calon ketua menteri dan apabila telah diputuskan kemudian, para pemimpin GRS bercadang untuk ke istana negeri bagi mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Sementara itu, sumber juga memberitahu Malaysiakini sebagai tambahan kepada 38 kerusi yang dimenangi GRS semalam, tiga lagi calon bebas yang menang juga akan menyokong kerajaan baru.

Ini memberikan majoriti 41 berbanding 32 kerusi milik Warisan Plus yang diterajui Mohd Shafie Apdal.

Tiga Adun bebas itu ialah Rubin Balang (Kemabong), Ruddy Awah (Pitas) dan Masiung Banah (Kuamut).


Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menang tujuh kerusi DUN dikatakan tidak hadir mesyuarat tengah hari ini tetapi telah mengeluarkan kenyataan menafikan parti itu bekerjasama dengan gabungan Warisan Plus.

Para pemimpin yang bermesyuarat berehat sebentar untuk makan tengah hari pada jam 1 tadi. 

Pemimpin PN diketuai Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin keluar meninggalkan pemimpin BN di dalam bilik mesyuarat.

Hamzah dilaporkan kelihatan serius dan kumpulannya sedang menikmati hidangan makan tengahari di bilik bersebelahan bilik mesyuarat tadi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Annuar Musa berkata di Twitter bahawa semua 41 Adun GRS plus bertemu untuk pertama kali pada hari ini. – Mkini


Join our Telegram Channel
Telegram