Darurat boleh halang PRK, PRN dan PRU – Annuar



KUALA LUMPUR: Hanya undang-undang di bawah pengistiharan darurat sahaja yang terpakai bagi menghalang berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak atau Pilihan Raya Umum, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata, tiada undang-undang jelas yang boleh digunakan bagi menghalang proses pilihan raya berkenaan dalam tempoh terdekat ini.


“PRK Batu Sapi wajib diadakan dalam tempoh 60 hari dari hari kerusi kosong, tetapi rakyat minta PRK ditangguhkan dan pegawai (Suruhanjaya Pilihan Raya) takut untuk ke zon merah.

“Tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tamat beberapa bulan lagi dan PRN wajib diadakan, namun semua orang takut apa yang berlaku di Sabah selepas PRN, menimpa Sarawak. Mereka minta PRN ditangguh dulu.

“Pelbagai pihak mengugut mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui sidang Parlimen bulan depan dan jika itu berlaku maka Perdana Menteri boleh bubarkan Parlimen dan PRU perlu di adakan, tetapi rakyat tidak mahu pilihan raya diadakan kerana takut merebaknya COVID-19.


“Undang-undang mana boleh dipakai untuk menangguh pilihan raya supaya kita dapat pastikan COVID-19 terkawal dan tidak mengancam nyawa rakyat,” katanya di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Annuar berkata, melalui cadangan itu, ternyata ada pihak yang tidak berpuas hati pada pentadbiran yang semakin diterima rakyat hanya kerana ingin terlepas daripada sesuatu yang akan menyusahkan mereka.

“Boleh saja halangan itu datang daripada orang-orang yang tamakkan kuasa tanpa memikirkan keharmonian atau kesihatan orang lain,” jelas beliau. – Astro Awani
Join our Telegram Channel
Telegram