Laksana perintah darurat, tanda PM hilang majoriti



WUJUD gerakan atau komplot sama ada daripada dalam parti kerajaan ataupun pihak pembangkang merisikokan kedudukan Perdana Menteri dalam Parlimen.

Justeru, bagi mengelak kedudukan terjejas terutama menjelang sidang Dewan Rakyat pada 2 November dan pembentangan Belanjawan 2021, Perintah Darurat adalah pilihan terbaik.

Ini kerana, dalam situasi krisis kesihatan akibat pandemik Koronavirus (Covid-19), pembubaran Parlimen bukanlah pilihan yang bijak.

Malah, Yang di-Pertuan Agong sudah tentu tak akan memberi perkenan terhadap pembubaran Parlimen bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat.


“Bagi saya, dalam keadaan Covid-19, perkara ini tidak boleh berlaku, proses demokrasi yang mereka harapkan untuk bertanding atapun untuk rebut kuasa itu saya rasa tak boleh berlaku.

“Sebab ia akan wabak Covid-19 meningkat. Kalau macam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kita sudah tahu pandemik itu meningkat.

“Darurat kita kali ini adalah sebab masalah Covid-19 yang semakin naik dan kerajaan isytihar darurat atas dasar itu.

“Begitu juga ada isu politik, di mana kita dapati ada gerakan daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.

“Beliau kata ada suara sama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd. Hamzah yang hendak undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.


“UMNO pula kita lihat, hendak bagi kata dua kepada Muhyiddin, jadi kita pun kalutlah dari segi politik.

“Kita kena ada darurat sebab terlalu banyak pihak berkomplot untuk merebut kuasa.”

Demikian kata penulis dan penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam mengulas jangkaan pelaksanaan Perintah Darurat ketika dihubungi Suara Merdeka hari in.

Tambah beliau, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, apabila seorang Perdana Menteri itu kehilangan sokongan majoriti, maka beliau tergugur daripada jawatan itu.

Ia sepatutnya berlaku secara automatik dan Perdana Menteri berkenaan perlu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri atau mengadakan pilihan raya.


Dalam pada itu, Ramlah memaklumkan pelaksanaan Perintah Darurat bukan satu perkara besar memandangkan Malaysia pernah melaksanakannya pada 1970.

Ia adalah susulan taragedi selepas Pilihan Raya Umum pada 1969 iaitu peristiwa 13 Mei dan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada 1970.

Menurut beliau, Mageran yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein berkuatkuasa selama empat tahun sehinggalah PRU diadakan pada 1974.

“Ketika pembentukan Mageran, ketika itu Tun Abdul Razak Hussein sebagai Timbalan Perdana Menteri dilantik menjadi Pengerusinya.

“Dibentuk satu pentadbiran yang mengandungi agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia, orang politik dan pegawai kerajaan.


“Pegawai kerajaan menjadi orang yang melaksanakan perintah yang dibuat dalam Mageran.

“Masa itu juga beberapa dasar diperkenalkan seperti dasar ekonomi baharu, Akta Hasutan dan Jabatan Perpaduan Negara.

“Dalam situasi sekarang, tiada Timbalan Perdana Menteri, cuma ada empat orang Menteri Kanan, jadi dekat situ ada kesukaran untuk melantik orang lain menjadi Perdana Menteri Interim,” jelasnya.

Terdahulu, berita pelaksanaan Perintah Darurat bertiup kencang berikutan Mesyuarat Khas Kabinet di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya pagi tadi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan mesyuarat itu bertindak menghadap Yang di-Pertuan Agong, As Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Pekan, Pahang pada pukul 5 petang tadi. – SM
Join our Telegram Channel
Telegram