
Rakyat Tanzania keluar mengundi hari ini sempena pilihan raya presiden dan
parlimen, yang menyaksikan Presiden Tanzania, John Magufuli berharap
memperoleh mandat penggal kedua untuk memerintah lagi lima tahun.
Dalam pada itu, blok pembangkang Tanzania menyuarakan amaran berkenaan pilihan
raya itu yang didakwa telah dimanipulasi serta mencetus keganasan.
Tanzania, yang pernah dipuji kerana keamanannya dan usaha perdamaian di
Afrika, berdepan krisis hak asasi manusia kerana para diplomat dan pejabat hak
asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan pemerintah di
bawah Magufuli menyekat kebebasan media, masyarakat umum dan pembangkang.
Lebih 29 juta rakyat Tanzania keluar mengundi yang menyaksikan sekitar 80,000
pusat mengundi di seluruh negara dibuka untuk memilih presiden dan anggota
parlimen.
Pilihan raya itu membabitkan 15 calon presiden daripada 15 parti politik
tetapi pencabar paling sengit adalah daripada Tundu Lissu yang pernah
terselamat daripada cubaan membunuh pada 2017, dan awal tahun ini telah
kembali dari buangan.
Awal bulan ini, Lissu dilarang berkempen selama seminggu ekrana dikatakan
mengeluarkan komen menghasut.
Sebilangan besar tempat mengundi dibuka pada 7 pagi waktu tempatan dan
dijangka ditutup pada 4 petang dengan setiap saluran mengundi hanya menampung
kurang daripada 500 pengundi.



Join our Telegram Channel