MalaysiaNow kantoi fitnah, Zahid tak u-turn – Annuar Musa



KUALA LUMPUR: Laporan sebuah portal mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertindak membuat Pusingan U (u turn) susulan pengumumannya melakukan genjatan politik, tidak benar.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, juga menafikan dakwaan mesyuarat selama empat jam membabitkan pemimpin UMNO sebelum ini, yang menekan Ahmad Zahid membuat pendirian sedemikian.

"Laporan itu jelas tidak benar, malah tidak wujud pun mesyuarat selama itu. Pertimbangan Presiden UMNO mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan adalah keputusan beliau sendiri.

"Presiden dan UMNO memahami keutamaan adalah rakyat, apalagi bila membabitkan nyawa dan kesihatan," katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau hari ini.


Justeru, Annuar berkata, tindakan Ahmad Zahid berhubung gencatan politik itu tepat apabila rakyat dan negara didahulukan, bukannya politik.

Portal itu semalam mendakwa berlangsungnya mesyuarat empat jam membabitkan Ahmad Zahid serta pengerusi perhubungan UMNO negeri yang marah atas tindakan pimpinan tertinggi menyokong tindakan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggulingkan kerajaan.

Sementara itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, gerakan untuk menukar Perdana Menteri pada masa ini tidak akan membantu negara mengurangkan penularan COVID-19.

"Mengganggu kestabilan perkara paling mudah. Tukar Perdana Menteri tidak menghapuskan virus ini. Malah pilihan raya juga tidak akan menyelamatkan rakyat malah boleh memporak perandakan lagi.

"Situasi kita ini luar biasa. Tiada rujukan kecuali melihat kepada pelbagai pendekatan dan menggubal preskripsi kita sendiri," katanya.


Beliau berkata, kestabilan diperlukan dan kerajaan ketika ini akan mengambil tindakan untuk mengurangkan impak COVID-19.

"Negara di Barat mengisytiharkan darurat, bagi menjamin kerajaan dapat tumpukan perhatian kepada COVID-19 dan keselamatan negara. Berbilion ringgit dana negara terpaksa digunakan dan negara boleh bankrap angkara COVID-19," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu membuat persiapan menggubal prosedur operasi standard baharu yang komprehensif sebelum boleh mengadakan pilihan raya umum.

"Malah pilihan raya kecil seperti di (Parlimen) Batu Sapi yang wajib diadakan, patut tidak diadakan sehingga semuanya terkawal.

"Semua mudarat yang jelas ini wajib dielakkan," katanya. – Bharian


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram