Mula-mula kata negatif, sekarang positif pula, saya dah jumpa orang kot – Adun Ayer Limau



Ayer Keroh: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Amiruddin Yusof mendakwa ujian saringan Covid-19 yang dijalankan ke atasnya di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah sejurus pulang dari Sabah pada Sabtu lalu adalah negatif.

Namun, beliau berkata, empat hari selepas itu (semalam), pihak PKD Alor Gajah menghubunginya dan memaklumkan ujian itu positif pula.

"Selepas dimaklumkan negatif oleh PKD Alor Gajah, saya diminta hadir memotong gelang merah jambu pada Selasa lalu. Tiba-tiba semalam, saya dimaklumkan ujian positif pula, walhal saya sudah melakukan beberapa urusan peribadi dan pejabat yang tertangguh.


"Apa pun, pihak PKD Alor Gajah sudah mengaku kesilapan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Antara lokasi yang dikunjungi Amiruddin semalam ialah Kompleks Seri Negeri, di sini, bagi menjalankan beberapa urusan kerja selain berada kafe kompleks berkenaan.

Susulan itu, pusat pentadbiran kerajaan negeri itu ditutup serta-merta bagi membolehkan kerja sanitasi dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pagi tadi.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, sepasukan anggota kesihatan ke kediamannya petang semalam dan membawanya ke hospital untuk tindakan lanjut.


"Semalam jam 4.30 petang pasukan perubatan datang ke rumah dan membawa saya ke hospital dengan menaiki ambulans.

"Susulan itu, isteri dan anak saya juga melakukan 'swab test' dan menunggu keputusan selain perlu menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah," katanya.

Amirudin berkata, dua anaknya yang dijadual mendaftar masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), minggu ini juga terpaksa ditangguhkan. – Hmetro 




Join our Telegram Channel
Telegram