Agong isytihar darurat di Batu Sapi, PRK tangguh



PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, bersetuju mengisytiharkan darurat di Batu Sapi, Sabah bagi menangguhkan pilihan raya kecil (PRK), yang sepatutnya diadakan pada 5 Dis.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam kenyataan berkata, keputusan dibuat bagi mengekang dan menghalang berlakunya gelombang ke-4 wabak Covid-19, selepas mendengar taklimat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini menetapkan hari mengundi PRK Batu Sapi diadakan pada 5 Dis, hari mengundi awal pada 1 Dis, dan hari penamaan calon pada 23 Nov.

PRK Batu Sapi diadakan mengikut ketetapan undang-undang, berikutan kematian penyandang, Liew Vui Keong, pada 2 Okt.


“Sultan Abdullah berpuas hati adanya keperluan pengisytiharan proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan suatu ordinan dimashyurkan bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh ditetapkan bagi menjalankan PRK Batu Sapi.

“Dengan pengisytiharan ini juga apa-apa prosiding yang sudah bermula bagi maksud penjalanan PRK bagi Batu Sapi tidak akan diteruskan. Pengisyhtiharan proklamasi darurat bagi Batu Sapi dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19,” katanya.

Persetujuan kepada pelaksanaan darurat di Batu Sapi ini mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, yang menjadi faktor utama gelombang ke-3 penularan Covid-19.

“Perkenan ini juga mengambil kira jumlah pemilih berdaftar yang tinggal di luar bahagian Batu Sapi, yang dijangka akan merentas daerah dan negeri untuk pulang mengundi,” katanya.


Berdasarkan rekod SPR, jumlah pemilih berdaftar Batu Sapi adalah 32,962 orang dan sejumlah 3,170 orang daripadanya beralamat di luar Parlimen Batu Sapi.

“Ia termasuk di Semenanjung dan Sarawak. Di samping itu, dianggarkan sejumlah 16,000 pemilih beralamat umum, iaitu tiada nombor rumah, dan akan menyukarkan pelaksanaan undi pos,” katanya.

Sultan Abdullah amat prihatin terhadap keselamatan rakyat ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 sejak PRN Sabah yang diadakan pada 26 Sept.

“Sultan Abdullah mengambil kesempatan ini menasihati rakyat jelata berdisiplin memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan dan pihak berkuasa membendung wabak ini demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang kita cintai bersama,” katanya. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram