Susulan Ahli Parlimen Gerik Hasbullah Osman meninggal dunia, Setiausaha Agung
DAP Lim Guan Eng menggesa semua parti politik supaya mengelak meletak calon
dan memberikan kemenangan tanpa bertanding kepada Umno.
Tambahnya, ini bagi mengekang risiko penularan wabak Covid-19 semasa pilihan
raya kecil.
“Pemergian Hasbullah mengundang satu lagi pilihan raya kecil dalam 60 hari,
yang boleh menimbulkan risiko kesihatan dan keselamatan awam ketika Malaysia
berada di tengah-tengah lonjakan tinggi jangkitan Covid-19.
“Sebagai pengiktirafan khidmat beliau dan bahawa Malaysia berada dalam
gelombang ketiga jangkitan Covid-19 yang teruk, seharusnya tidak ada
pertandingan dalam pilihan raya kecil oleh parti-parti untuk melawan Umno,”
katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Semalam dilaporkan, Hasbullah (gambar, bawah) telah menghembuskan nafasnya
yang terakhir akibat serangan jantung petang semalam.
Sementara itu, Lim yang juga merupakan anggota parlimen Bagan turut
menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Hasbullah.
“DAP merakamkan ucapan takziah kepada keluarga ahli parlimen Umno Gerik,
Hasbullah Osman yang meninggal dunia semalam akibat serangan jantung.
“Walaupun berada di sebelah pihak berlawanan, Hasbullah telah berkhidmat lebih
daripada dua penggal sebagai ahli parlimen dan kepada rakyat di kawasannya,”
katanya lagi.
Pada 2 oktober lalu, kerusi Batu Sapi kosong setelah kematian Ahli
Parlimennya, Liew Vui Keong dari Warisan pada 2 Oktober.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 23 November untuk pencalonan PRK Batu
Sapi, 1 Disember untuk pengundian awal dan 5 Disember untuk pemilihan untuk
pilihan raya kecil.
ARTIKEL BERKAITAN: MP Gerik (Umno) meninggal dunia
Join our Telegram Channel