Dewan undangan negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan rang
undang-undang (RUU) saraan anggota pentadbiran dan ahli-ahli dewan negeri
pindaan 2020.
RUU itu dicadangkan timbalan menteri besarnya, Mohd Amar Abdullah sebagai
suatu enakmen dengan tiga kali bacaan.
Mohd Amar (PAS- Panchor) ketika membentangkan cadangan tersebut berkata,
pindaan dikemukakan berikutan keadaan terkini yang mencabar kepada
anggota-anggota pentadbiran dan Adun.
Ia, katanya, juga bagi menyelaraskan dengan elaun di negeri-negeri lain.
"Selain daripada itu, tugas anggota pentadbiran dan Adun semakin berat dan
membawa harapan tinggi daripada rakyat terutama berhadapan dengan pandemik
Covid-19.
"Oleh yang demikian kerajaan mencadangkan pindaan dibuat ke atas RUU
berkenaan.
"Adalah diharapkan dengan pindaan ini akan mendorong anggota pentadbiran dan
ahli-ahli yang berhormat untuk bekerja lebih gigih dan membantu untuk
berkhidmat kepada orang ramai pada tahap yang maksimun," katanya pada
Persidangan DUN Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
RUU itu tidak menyebut jumlah kenaikan yang akan diperoleh mereka.
Bagaimanapun, terdahulu media melaporkan Adun dan exco negeri bakal menikmati
kenaikan gaji pokok antara RM3,000 hingga RM5,000 seorang.
Menurut Mohd Amar, wakil rakyat di Kelantan diibaratkan seperti pegawai
kebajikan kerana ramai masyarakat di kawasan memerlukan perhatian dan bantuan
mereka.
Selepas pembentangan itu Speaker DUN Kelantan, Abdullah Yaakob, memberi laluan
untuk cadangan tersebut dibahaskan, namun tiada seorang pun wakil rakyat
berbuat demikian sekali gus diluluskan sebulat suara.
Join our Telegram Channel