Hina Agong: Umany mohon maaf, tak niat hasut, hanya perbincangan akademik



PETALING JAYA: Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (Umany) memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung kenyataan kontroversinya yang menyebabkan beberapa orang pemimpinnya disiasat oleh polis.

Dalam kenyataan, Umany berkata, ia juga menarik balik kenyataan tersebut selepas berunding dengan beberapa orang pakar perlembagaan.

“Kami ingin menegaskan bahawa kami mematuhi sistem Raja berperlembagaan di Malaysia serta menghormati peranan Agong dalam perlembagaan persekutuan.


“Kami secara khususnya ingin mengemukakan permohonan maaf dan memohon ampun kepada Tuanku atas kekurangan pemahaman kami terhadap perlembagaan persekutuan,” katanya.

Selain memohon maaf, Umany menekankan bahawa kenyataan berkenaan adalah untuk tujuan perbincangan akademik dan tidak berniat untuk menghasut.

Badan mahasiswa itu juga menggesa polis menghentikan siasatan yang dijalankan ke atas pemimpinnya dan meminta kerajaan memansuhkan undang-undang “zalim” seperti Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Umany juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan semasa siasatan polis berjalan dan berkata ia akan terus mempertahankan kebebasan dan demokrasi di negara ini.


Badan mahasiswa itu mencetus kontroversi susulan kenyataan bertajuk “Yang Di-Pertuan Agong should not Interfere in national affairs” yang disiarkan di Facebook kumpulan itu minggu lalu.

Presidennya Robin Yap Wen Qing dan naib presiden Tan Li Yuan disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta komunikasi dan Multimedia berhubung kenyataan itu.

Bekas presiden Umany Wong Yan Ke juga ditahan kerana merakam serbuan polis di kediaman Yap dan menyiarkannya di Facebook. Beliau dilepaskan selepas itu dengan jaminan polis.

Kumpulan peguam dan hak asasi manusia mempertahankan Umany dengan berkata, tindakan polis tidak adil. – Mkini
Join our Telegram Channel
Telegram