KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak maut selepas dicampak oleh datuk tirinya
yang disyaki terlibat dengan ajaran sesat dari tingkat tiga Apartmen Villa
Danau, Setapak di sini semalam.
Kejadian pada pukul 8 pagi itu mengakibatkan Muhammad Adam Sufi Muhd.
Norkhusairi, 4, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian
kepala dan badan.
Mangsa ditemui berlumuran darah dengan tidak berseluar sebelum disusuli dengan
tindakan suspek terjun dari tingkat yang sama dalam keadaan berbogel.
Difahamkan, lelaki warga Nigeria berusia 42 tahun itu bertindak demikian
selepas dipercayai gagal merogol anak tirinya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros
Azhan Nik Ab. Hamid berkata, hasil siasatan mendapati suspek sudah mendirikan
rumah tangga dengan seorang wanita tempatan berusia 49 tahun sejak 10 tahun
lalu.
Jelas beliau, selain pasangan suami isteri itu, enam ahli keluarga yang
terdiri daripada empat anak tiri, seorang anak lelaki suspek serta mangsa
tinggal bersama di rumah tersebut.
Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek telah cuba merogol salah seorang
anak tirinya yang sedang tidur di ruang tamu sebelum dihalang isteri serta
anak-anak yang lain.
“Berang dengan kejadian itu, suspek mengamuk dan memukul kesemua mangsa di
dalam rumah tersebut. Isteri dan anak-anak cuba menyelamatkan diri dengan
bertindak keluar dari rumah bagi mendapatkan bantuan jiran.
“Ketika itu, suspek melihat mangsa menjerit meminta bantuan sebelum dia
bertindak mencampak kanak-kanak itu dari tingkap bilik utama,” katanya ketika
dihubungi Kosmo! semalam.
kejadian budak dicampak dari tingkat tiga Apartmen Villa Danau, Setapak
menggemparkan penghuni kediaman tersebut semalam.
Menurut Nik Ros Azhan, susulan itu, suspek turut melompat dari tingkap yang
sama.
“Suspek yang cedera akibat gagal melarikan diri dan berjaya ditangkap orang
awam dan pengawal keselamatan sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan dan suspek dihantar ke
Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat. Kes
disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
Dalam perkembangan sama, Nik Ros Azhan berkata, pihaknya sedang menyiasat
berhubung dakwaan suspek terlibat dengan ajaran sesat.
Difahamkan, suspek sering bergaduh dengan isterinya berhubung isu agama sejak
kebelakangan ini.
Join our Telegram Channel