Presiden Patriot, Mohamed Arshad Raji membidas kenyataan Ahmad Marzuk Shaary
mengenai kemungkinan memperluas larangan penjualan minuman keras di kedai
runcit dan serbaneka di seluruh negara.
Ini berikutan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang akan
memperkenalkan larangan itu di Kuala Lumpur mulai Oktober tahun depan.
Patriot menyeru Ahmad Marzuk dan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa untuk
lebih fokus menangani masalah rasuah.
"Kami ingin meminta Ahmad Shaary untuk memberitahu kami mana yang lebih jahat
- minum arak atau rasuah? Mana yang lebih merosakkan masyarakat dan negara
kita? Kejahatan mana yang paling menarik orang Melayu?
"[..] Kepada Annuar dan Ahmad Shaary, beritahu kami di antara dua kejahatan
ini, mana yang harus diambil tindakan terlebih dulu - menentang larangan
minuman keras atau untuk membasmi rasuah di kalangan masyarakat Melayu," kata
Arshad.
Arshad turut menyifatkan kenyataan Ahmad Marzuk sebagai campur tangan dalam
urusan orang bukan Islam.
Arshad turut menyifatkan larangan berkenaan "tidak perlu dan tidak masuk
akal".
"Orang ramai, terutama orang bukan Islam, memperhatikan apa yang telah
dinyatakan oleh pemimpin PAS sebelum ini.
"Orang bukan Islam sering diberi jaminan bahawa mereka tidak akan dikenakan
peraturan yang berkaitan dengan Islam dan urusan Islam, termasuk isu Hudud.
"Orang bukan Islam diberitahu bahawa mereka boleh mengambil makanan tidak
halal selagi agama mereka mengizinkan," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kegagalan berpegang pada prinsip itu akan mempengaruhi persepsi
masyarakat terhadap Ahmad Marzuk dan pihaknya.
Semalam, Ahmad Marzuk, yang merupakan exco dewan Pemuda PAS Kelantan,
mengatakan bahawa kerajaan tidak menolak kemungkinan memperluas larangan
penjualan minuman keras di kedai runcit dan serbaneka, dan juga kedai ubat di
seluruh negara.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel