MP DAP gesa polis lepaskan 25 suspek kumpulan gengster



Menjelang sambutan Deepavali, anggota Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago menggesa pihak polis membebaskan 25 individu yang telah ditahan kira-kira sebulan tanpa didakwa di mahkamah.

Polis berkata mereka ditahan kerana disyaki anggota kumpulan TCB 21 yang dipercayai bertanggungjawab dalam satu insiden tembakan di Banting pada Sept lalu.

Charles berkata polis didakwa enggan membebaskan mereka daripada tahanan walaupun dua majistret sebelum ini menolak permintaan untuk perintah tahanan reman.

"Dan ironinya, majistret Petaling Jaya baru-baru ini memerintahkan pembebasan mereka. Tetapi polis berkeras tidak mematuhi perintah mahkamah.

"Orang-orang ini ditangkap kerana pelbagai kesalahan jenayah yang tidak mereka lakukan, dan tidak pernah didakwa," kata Santiago.


Menurutnya, mereka pada mulanya disiasat berhubung kejadian tembakan pada 25 Sept yang menyaksikan seorang peniaga dan pengawal peribadinya ditembak beberapa kali berhampiran SMK Telok Datok.

Kejadian itu juga menyebabkan beberapa pelajar sekolah cedera ketika kereta mangsa hilang kawalan apabila serangan berlaku dan merempuh pelajar terbabit.

Santiago mendakwa individu berkenaan disiasat atas kes pembunuhan lain pada tahun 2016 dan 2018, yang menyaksikan mereka ditahan semula di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012.

Katanya, keluarga berasa sedih dengan penahanan dalam tempoh yang lama terhadap suspek, terutamanya ketika mereka merayakan Deepavali esok.

"Salah seorang ibu, saya diberitahu, mengancam untuk membunuh diri jika anaknya tidak dibebaskan pada Sabtu, hari pertama pesta cahaya," tambah Santiago.


'Gang aktif lakukan jenayah serius'

Sementara itu, menurut polis, 25 lelaki itu merupakan antara 29 suspek anggota kumpulan yang ditahan antara 13 dan 14 Okt dalam operasi yang dilancarkan berikutan satu kes tembakan pada 25 Sept.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata mereka disiasat di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana menjadi anggota kumpulan jenayah terancang, selain disiasat di bawah Sosma.

Katanya kertas siasatan telah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara,  namun keterangan yang ada tidak mencukupi untuk mendakwa suspek di bawah Seksyen 130V.

"Bagaimanapun hasil siasatan PDRM mendapati Geng GTCB 21 merupakan satu kumpulan pertubuhan kongsi gelap haram yang aktif dalam melakukan kesalahan jenayah serius seperti cubaan bunuh dengan menggunakan senjata api, melepaskan tembakan dalam rusuhan berkumpulan, merompak, melakukan khianat dengan api iaitu membakar kereta, mesin excavator, melakukan pemerasan, mendatangkan kecederaan dan lain-lain.

"Polis mempunyai keterangan yang mencukupi untuk mengambil tindakan pencegahan jenayah ke atas kumpulan ini di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959.

"Oleh yang demikian, pada 12 Nov 2020, PDRM telah menangkap 25 orang ahli Geng TCB 21 di bawah akta tersebut.

"Tindakan ini bertujuan memastikan keamanan dan ketenteraman awam dapat dikekalkan serta memastikan kumpulan ini dapat dibanteras sepenuhnya," katanya. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram