Shah Alam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna
Selangor (KPDNHEP) menyerbu sebuah restoran terkenal di sini, yang disyaki
menggunakan bahan mentah tidak halal di dalam hidangan mi kari, semalam.
Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, tindakan itu
susulan tular satu rakaman video di media sosial apabila restoran terbabit
menyajikan mi kari mengandungi bahan mentah disyaki daging babi.
Beliau berkata, susulan daripada video tular berkenaan, sepasukan anggota
penguat kuasa KPDNHEP Selangor menjalankan pemeriksaan lanjut di premis
makanan terletak Subang Jaya itu pada 11 pagi semalam.
"Hasil pemeriksaan di bahagian dapur restoran, anggota menemukan bahan mentah
digunakan untuk menyediakan menu mi kari kepada pelanggan.
"Ketika ditanya anggota, pengurus restoran menafikan daging terbabit adalah
daging babi dan mendakwa itu adalah daging ayam diperap dengan perencah
barbeku.
"Bahan mentah utama itu disita bagi tujuan ujian makmal dan keterangan pakar.
Menurut pengurus terbabit, bekalan bahan mentah itu dipesan pihak ibu pejabat
syarikat restoran itu," katanya dalam satu kenyataan.
Muhamad Zikril Azan berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan
mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) yang masih dalam
tempoh sah sehingga 30 November ini.
Beliau berkata, pihaknya turut menyita Sijil Halal Jakim dan dokumen
penghantaran bahan mentah oleh pembekal.
"Menurut pengurus premis itu, dia mempunyai tiga pekerja warga Myanmar yang
bertugas sebagai tukang masak di restoran berkenaan.
"Kes akan disiasat mengikut kesalahan Perintah 3(1)(a) Perintah Perihal
Dagangan (Takrif Halal) 2011 iaitu apabila suatu makanan atau barang-barang
diperihalkan sebagai halal atau diperihalkan dengan apa-apa ungkapan lain
untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan
oleh orang Islam.
"Ia bermaksud, makanan atau barang-barang itu bukanlah dan tidaklah terdiri
daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda daripada binatang yang
dilarang oleh hukum syarak bagi orang Islam untuk memakannya atau yang tidak
disembelih mengikut hukum syarak.
"Jika disabitkan kesalahan, ia boleh didenda seperti mengikut Perintah 5
Perintah Perihal Dagangan 2011," katanya.
Beliau menegaskan, pihaknya akan meneruskan pemantauan dan pemeriksaan bagi
memastikan mana-mana pemegang sijil halal Jakim sentiasa mematuhi peraturan
ditetapkan serta sentiasa menekankan aspek kesucian dan kebersihan bagi
menjamin kemaslahatan pengguna Muslim di negara ini.
Menurutnya, pemeriksaan sama turut dijalankan pejabat KPDNHEP Cawangan Sepang,
KPDNHEP Cawangan Kajang dan KPDNHEP Cawangan Gombak membabitkan 15 anggota
terhadap cawangan restoran berkenaan.
"Orang ramai dialu-alukan supaya menyalurkan maklumat berkaitan dengan isu
halal melalui hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command
Centre (ECC).
Please subscribe
Join our Telegram Channel