
KUALA LUMPUR: Mereka yang merakam video atau membuat siaran secara langsung
(live) ketika anggota polis melakukan serbuan atau tangkapan boleh diambil
tindakan kerana ia dianggap menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta
boleh mengganggu siasatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed,
berkata tindakan mengambil gambar atau merakam video bukan satu kesalahan
jenayah, namun bukan ketika anggota polis sedang menjalankan siasatan terhadap
sesuatu kes.
"Tindakan merakam gambar atau video bukan satu kesalahan jenayah.
"Bagaimanapun, sekiranya gambar atau video itu dikongsi, disebar dan
ditularkan di media sosial atau dalam apa sahaja cara, ia boleh mengganggu
siasatan polis.
"Ia juga bertentangan dengan peruntukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi
dan Multimedia 1998 yang memulakan penghantaran dengan niat mengganggu orang
lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tangkapan ke atas seorang lelaki kerana
mengganggu dan menghalang tugas polis ketika membuat serbuan di sebuah rumah
di Jalan 17/48, Petaling Jaya, Selangor Ahad lalu.
Polis membuat serbuan di rumah berkenaan berhubung siasatan satu kes bersabit
Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
"Bagi melengkapkan siasatan, sepasukan anggota polis daripada Bahagian
Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang membuat serbuan sejajar
dengan peruntukan mengikut Seksyen 8(2) Akta Hasutan 1948 (Pengeluaran Waran
Geledah).
"Sebelum penggeledahan dibuat, pegawai serbuan yang memakai rompi Polis
menunjukkan kad kuasa kepada seorang lelaki yang berada di rumah namun dia
enggan memberi kerjasama dengan mengunci pintu dari dalam," katanya.
Katanya lagi, seorang wanita mengaku sebagai peguam dan seorang lelaki
kemudian hadir ke lokasi sebelum lelaki berkenaan membuat siaran video secara
langsung melalui Facebook Live (FB Live) menggunakan telefon bimbitnya.
"Pegawai serbuan sudah beberapa kali memberi amaran supaya dia menghentikan
tindakannya namun lelaki itu tetap meneruskan rakaman.
"Susulan itu, lelaki 23 tahun itu ditangkap kerana mengganggu proses siasatan
serta menghalang penjawat awam melakukan tugas selain telefon bimbit serta kad
sim yang digunakannya turut dirampas," kata Huzir.
Menurut beliau, tangkapan dibuat kerana kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun
Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan fungsi jawatan dan
tangkapan itu berlandaskan undang-undang demi kepentingan siasatan.
Beliau turut menegaskan setiap siasatan adalah sulit dan tidak boleh
didedahkan sewenang-wenangnya, apatah lagi ditularkan di media sosial.
"Kita minta orang ramai untuk sentiasa memberikan kerjasama dan tidak
mengganggu polis dalam menjalankan siasatan secara lebih adil, telus dan
saksama.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang sengaja menggugat
keselamatan dan ketenteraman awam," ujar beliau.
Sebelum ini, media melaporkan polis menjalankan siasatan terhadap Presiden
Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY), Yap Wen Qing mengikut Akta
Hasutan 1948 berhubung kenyataan kontroversi mengenai peranan Yang di-Pertuan
Agong, Al-Sultan Abdullah Ri' ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Mengulas lanjut perkara itu, Huzir mengesahkan polis sedang menjalankan
siasatan berhubung kenyataan yang dimuat naik di laman FB 'University of
Malaya Associaton of New Youth (UMANY) bertajuk 'YDPA Sholud Not Intefere in
National Affair' itu.
"Setakat ini pihak polis sudah menerima 41 laporan polis berhubung hantaran
berkenaan.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.
Dalam pada itu, media turut melaporkan seorang aktivis pelajar, Wong Yan Ke
ditahan ketika membuat siaran secara langsung ketika polis menyerbu kediaman
Wen Qing, di Petaling Jaya, Ahad lalu.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel