MELAKA: Air Sungai Melaka yang sebelum ini bersih bertukar keruh seakan-akan
warna ‘teh tarik’ malah dipenuhi sampah sarap di sekitar Pengkalan Rama sejak
pagi ini.
Selain pemandangan yang kurang menyenangkan itu, tinjauan Utusan Malaysia di
lokasi mendapati, terdapat ratusan ekor ikan di tepi tebing dipercayai ada
kaitan dengan pengaruh air laut pada musim air pasang.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pantai dan Sungai Melaka (PPSPM), Datuk
Murad Husin berkata, keadaan keruh itu terjadi selepas air empangan terpaksa
dilepaskan bagi mengelak limpahan yang menyumbang kepada berlakunya banjir.
“Air di Empangan Batu Hampar terpaksa dilepaskan dan segala sisa kotoran yang
telah mendap sebelum ini akan timbul semula, sekali gus menjadikan air Sungai
Melaka menjadi keruh dan kotor.
“Walaupun fenomena kali ini tidak seteruk sebelumnya pihak kami sudah arahkan
kerja pembersihan dilakukan segera dengan membuang segala sampah sarap yang
dibawa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ujar Murad, beliau yakin keadaan air Sungai Melaka akan kembali pulih dalam
tempoh terdekat sekiranya cuaca tidak hujan.
“Kalau tiada hujan dalam tempoh sehari dua, air akan kembali bersih seperti
biasa.
“Tetapi apabila berlaku hujan lebat berterusan di kawasan hulu sungai, air
akan mengalir ke bawah menyebabkan paras empangan tinggi dan terpaksa
dilepaskan,” katanya.
Sementara itu, bagi seorang pengunjung, Norhanim Lajim, 30, berkata, dia yang
melalui kawasan itu untuk aktiviti berbasikal bersama rakannya terkejut
apabila melihat perubahan warna air sungai itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Hikmah PKP Sungai Melaka bertambah jernih
Join our Telegram Channel