Usahawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida tidak
pernah menghalang dua anaknya, Edlynn Zamilleen, 15, atau Cik B dan Muhammad
Eric Zaquan,13, atau lebih dikenali sebagai Kacak untuk bertemu bapa mereka.
Vida ketika dihubungi berkata, bagaimanapun Cik B dan Kacak yang tidak mahu
berjumpa dengan bapa mereka kerana takut.
“Saya tak pernah halang, tapi mereka yang tak mahu berjumpa kerana takut. Buat
masa ini, untuk keselamatan Cik B dan Kacak, lebih baiklah tak payah jumpa,”
katanya kepada Harian Metro.
Ditanya kenapa Cik B dan Kacak takut berjumpa bapa mereka, Vida enggan
mengulas lanjut.
“Saya tak mahu besarkan cerita, lebih baik saya diam saja. Selama ini pun, dia
ada menghubungi pembantu peribadi saya meminta wang,” katanya.
Terdahulu, bekas suami Vida iaitu Mohd Amin Yasin, 42, menerusi peguamnya,
Mohd Zaki Zainal Abidin dan Nik Mohamad Amin Nik Abdullah memfailkan tuntutan
hadhanah (hak lawatan, bermesra dan bermalam) dengan dua anak, Cik B dan Kacak
di Mahkamah Syariah Kota Bharu, Kelantan, hari ini.
Vida berkata, dia hanya mengetahui tuntutan bekas suaminya itu menerusi media,
hari ini.
Mengulas mengenai sebutan semula kes yang ditetapkan mahkamah pada 25 November
ini, Vida berkata, dia perlu berbincang dengan peguamnya dulu.
Mohd Amin mendakwa kali terakhir dia bertemu dua anaknya itu pada Mei 2018 di
ibu pejabat Vida Beauty Sdn Bhd di Ipoh, Perak dan perjumpaan itu hanya 15
minit sahaja.
Katanya, dia amat merindui dua anaknya itu dan hanya mengetahui perkembangan
terkini mereka melalui media sosial dan televisyen.
Mohd Amin berkahwin dengan Vida pada 2000 dan mereka dikurniakan empat anak
iaitu Muhammad Eddie Zuhdie, Muhammad Edrie Zikrie, Edlynn Zamilleen dan
Muhammad Eric Zaquan.
ARTIKEL BERKAITAN: Bekas suami heret Datuk Seri Vida ke mahkamah
Join our Telegram Channel