Video terakhir lelaki rempuh pejabat sebelum mati tular



PETALING JAYA: Klip video menunjukkan seorang lelaki menceritakan kesengsaraan dan kemurungan dihadapinya di tempat kerja muncul beberapa jam selepas beliau merempuh pejabatnya itu dengan kenderaan dan kemudiannya terbunuh berikutan kemalangan dengan sebuah lori.

Terdahulu hari ini, dilaporkan seorang lelaki yang dipecat baru-baru ini melanggar sebahagian premis syarikatnya di Perak dan melontar ‘molotov cocktail’ ke dalam pejabat pengurusan.

Beliau meninggalkan bangunan syarikat teknologi AS yang berpangkalan di Singapura itu dengan berjalan kaki dan sejam kemudian menemui ajal selepas dilanggar oleh sebuah lori semasa melintas jalan.

Dalam video tersebut, lelaki berumur 50-an itu berkata, prestasi kerjanya baik sejak menyertai syarikat terbabit dengan memperoleh bonus, kenaikan gaji dan insentif lain.


Tahun ini katanya, bonusnya lewat dan beliau tidak mendapat kenaikan gaji atau insentif lain.

Katanya, beliau didakwa mempunyai “isu prestasi”, tetapi tiada sebarang bukti yang menunjukkan kelemahannya pernah ditunjukkan.

“Sekiranya saya mempunyai isu prestasi, anda harus menghubungi saya, memberitahu saya dan kami perlu memperbaikikannya,” beliau dilaporkan berkata demikian dalam video itu.

Beliau mendakwa pernah meminta untuk bertemu pegawai atasan, tetapi tidak diendahkan.


“Kehidupan saya sengsara sekarang. Saya tidak dapat tidur pada waktu malam,” katanya.

Lelaki itu berkata, beliau tidak pernah memerlukan sebarang ubat selama 20 tahun lepas, tetapi perlu mengambil pelbagai ubat baru-baru ini disebabkan tekanan.

“Tahukah anda betapa tertekannya saya sekarang?”

Dalam video itu juga, beliau berulang kali mengucap terima kasih kepada beberapa orang rakan sekerja yang membantunya mengatasi masalah itu.

“Mungkin esok saya tidak ada lagi. Siapa tahu?” katanya hampir menangis.

Lelaki itu berkata, tekanan itu bukan berpunca daripada pekerjaan, tetapi “beberapa orang” yang bekerja dengannya.

“LIhat kes saya dan berlaku adillah kepada saya. Jika anda fikir saya melakukan salah, tunjukkan. Saya sangat tertekan.”

Katanya, beliau membuat 2 laporan polis berhubung keadaan yang dihadapi di tempat kerja dan dakwaan tentang amalan perkauman dalam syarikat itu.

“Terima kasih banyak-banyak, saya merindui kamu,” katanya di akhir rakaman video itu.

FMT menghubungi syarikat itu untuk mendapat respons dan tidak akan mendedahkan namanya semasa menunggu ulasan syarikat. – FMT



Please subscribe






Join our Telegram Channel
Telegram