SHAH ALAM – Seorang pendakwah selebriti disambung reman selama lima hari
bermula esok bagi membantu siasatan berhubung kes merogol kenalan Instagram di
Seksyen 7 di sini, September tahun lalu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 25 tahun itu dikeluarkan Timbalan
Pendaftar Ahmad Feisal Mohd. Azmi.
Terdahulu suspek yang merupakan bekas peserta program realiti agama sebuah
saluran televisyen swasta hadir ke kompleks Mahkamah Shah Alam pukul 11 pagi
dengan memakai baju Melayu berwarna hijau dan diwakili Peguam Ahmad Amzar
Ahmad Azlan.
Suspek sebelum ini direman lima hari bermula Jumaat lalu yang berakhir hari
ini.
Ahmad Amzar yang ditemui selepas prosiding reman itu memaklumkan anak guamnya
menafikan tuduhan dan dakwaan terhadap sebarang kes melibatkan dirinya.
“Dia berada dalam keadaan sihat dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya
kepada pihak berkuasa berhubung laporan polis yang diterima (di daerah Shah
Alam dan Petaling Jaya ),” jelasnya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dalam
kenyataan sebelum ini menjelaskan lelaki itu ditahan pukul 11 malam pada 26
September selepas memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah
Alam.
Katanya, penangkapan itu susulan laporan dilakukan mangsa berusia 23 tahun
pukul 7.10 petang pada 25 September lalu.
“Siasatan awal mendapati mangsa keluar dengan lelaki itu yang dikenalinya
menerusi laman sosial Instagram pada 11 September tahun lalu.
“Tujuan pertemuan itu adalah bagi berbincang berkenaan masalah kemurungan yang
dihadapi mangsa dengan kaedah perubatan Islam.
“Lelaki itu telah membawa mangsa makan di kedai makan sebelum balik ke rumah
dengan alasan untuk memberikan penerangan mengenai penyakit kemurungan dan
didakwa telah merogol mangsa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat
memaklumkan sebanyak enam laporan polis diterima setakat ini dengan
masing-masing lima di Shah Alam dan satu di Petaling Jaya.
“Siasatan dijalankan dibawah kesalahan seksual seperti Seksyen 376 (rogol),
354 (cabul), 377 (seks luar tabii) dan 323 (mencederakan) mengikut Kanun
Keseksaan,” jelasnya.
Setakat ini, tujuh laporan polis diterima melibatkan Da’i Syed. Sebelum ini
pendakwah muda kelahiran program realiti keagamaan Da’i Pendakwah Nusantara
musim keempat itu dikaitkan dengan satu kes rogol yang masih dalam siasatan.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel